KPN gerak program Arkib@Komuniti, mahu masyarakat jadi penjaga sejarah

17 May 2025 • 2:08 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Arkib Negara Malaysia (ANM) kini menggerakkan inisiatif Arkib@Komuniti bagi mengangkat semula peranan rakyat dalam memelihara khazanah warisan negara.

image is not available

KPN gerak program Arkib@Komuniti dilancarkan Menteri Perpaduan

Program yang dilancarkan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang ini telah disempurnakan di Galeri Warisan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Selangor.

Menurut Menteri Perpaduan, inisiatif ini adalah satu langkah aktif selari dengan prinsip Malaysia MADANI bagi membina jati diri nasional menerusi penceritaan sejarah rakyat dari akar umbi.

“Program Arkib Komuniti ini akan disebar luaskan oleh ANM ke komuniti seluruh negara bagi mendekati individu, keluarga, tokoh, pertubuhan, purbawan (collector) dan komuniti yang memiliki koleksi bernilai sejarah.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang koleksi persendirian kepada ANM bagi melengkapkan koleksi bahan dan mengisi jurang maklumat sejarah sedia ada,” katanya.

image is not available

KPN gerak program Arkib@Komuniti dengan kerjasama PBT

Menurut beliau lagi, penubuhan Arkib Komuniti di setiap daerah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membantu memastikan penglibatan aktif masyarakat dalam kerja-kerja pengesanan, pengumpulan dan pemeliharaan sejarah.

Beliau turut menyarankan agar ANM membangunkan laman khas Arkib Komuniti sebagai “portal ke masa lalu” untuk akses maklumat sejarah komuniti secara atas talian.

“Bagi melengkapkan pendokumentasian sumber sejarah komuniti, Arkib Negara disarankan untuk membangunkan laman khas Arkib Komuniti.

“Laman ini boleh berfungsi sebagai “portal ke masa lalu” di mana penyelidik, komuniti atau penyerah bahan dapat mengakses dan mendapatkan maklumat sejarah komuniti secara atas talian,” ujarnya lagi.

image is not available

Difahamkan, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti sesi penyerahan bahan sejarah, perkhidmatan imbas dan pemuliharaan koleksi, pameran seni budaya serta tayangan wayang pacak.

Langkah ini membuktikan bahawa KPN serius mahu menjadikan masyarakat sebagai penjaga sejarah dan bukan hanya melalui arkib rasmi, tetapi juga suara dan koleksi rakyat sendiri.