KPN & JPM Siasat, Ambil Tindakan Individu Sebarkan Agama Lain Kepada Umat Islam

LocalPolitics
26 Feb 2025 • 9:59 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai dakwaan dua orang warga asing cuba menyebarkan agama lain kepada orang Islam.

Semuanya bermula selepas tular video dua Mat Salleh berkenaan dihalau oleh penduduk di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur kerana didakwa cuba bertindak sedemikian.

Video itu nyata mendapat perhatian ramai termasuklah Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap golongan berkenaan.

Ekoran daripada insiden itu juga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru agar semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di Malaysia bagi menjaga keharmonian negara.

KPN & JPM (Hal Ehwal Agama) Akan Kerjasama Siasat & Ambil Tindakan

Terbaharu, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu terbabit yang didakwa terlibat dengan aktiviti penyebaran agama lain kepada orang Islam.

Menurut Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) membantah aktiviti tersebut kerana melanggar Peraturan 11 Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan seumpama ini mampu mencetuskan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan, keharmonian dan perpaduan antara pelbagai komuniti di Malaysia.

“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya dan agama, malah amat menekankan pentingnya sikap saling menghormati serta hidup bersama dalam suasana aman damai,” katanya.

Aktiviti Penyebaran Agama Lain Kepada Orang Bukan Islam Perlu Dihentikan

Malah, kedua-dua menteri itu turut senada memaklumkan sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman serta kesejahteraan awam perlu dihentikan serta-merta.

Pada masa yang sama, mereka turut menggesa orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan aktiviti tersebut serta membuat laporan kepada pihak polis.

Tingkat Aktiviti Pemantauan Melalui Skim Rondaaan Sukarela (SRS)

Jelas Aaron lagi, KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan meningkatkan pemantauan menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara khususnya di kawasan Lembah Klang.

“Ini adalah bagi memperkukuh keselamatan dan keharmonian komuniti di seluruh negara, dan ia selari dengan tujuan utama penubuhan SRS iaitu membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di kawasan komuniti setempat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im menjelaskan JAKIM akan sentiasa terus berperanan dalam memberi nasihat dan bimbingan kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah.

Seru Orang Ramai Sama-Sama Jaga Keharmonian Negara

Malah, kedua-dua mereka turut sama menyeru orang ramai agar menjaga keharmonian serta menghormati nilai budaya dan agama yang menjadi asas kepada kehidupan rakyat Malaysia.

“Kami berharap peristiwa seumpama ini tidak berulang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan kelangsungan perpaduan nasional,” katanya.

𝐒𝐈𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐃𝐈𝐀 𝐈𝐍𝐒𝐈𝐃𝐄𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐊𝐄𝐍𝐀𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐁𝐄𝐑𝐀𝐏𝐀 𝐖𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐀𝐒𝐈𝐍𝐆 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐃𝐈𝐃𝐀𝐊𝐖𝐀 𝐒𝐄𝐁𝐀𝐑 𝐀𝐆𝐀𝐌𝐀 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐔𝐌𝐀𝐓 𝐈𝐒𝐋𝐀𝐌 𝐃𝐈 𝐏𝐏𝐑 Aaron Ago Dagang…

Posted by Kementerian Perpaduan Negara on Tuesday 25 February 2025

Source: