KPT Bagi Keterangan Secara Terperinci Kenapa Calon STPM PNGK 4.0 Tak Layak Masuk UM

LocalPolitics
10 Sep 2025 • 10:30 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pihak Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan penjelasan secara terperinci sebagai tanda respon terhadap kenyataan calon STPM yang memperoleh PNGK 4.0 yang kecewa kerana gagal melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Prof Dr Azlinda Azman dalam satu sidang akhbar menyangkal dakwaan yang mengatakan calon tersebut telah memohon di 6 buah universiti awam untuk kursus perakaunan, sebaliknya, hanya 4 sahaja iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

Huraian terperinci kenapa tidak dipilih

Bagaimanapun, calon tersebut ditawarkan ke program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian (Strategi & Organisasi/Pemasaran/Kewangan/Operasi/Perniagaan Antarabangsa/Kewangan Islam/Analitik Perniagaan) di sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara yang juga merupakan pilihan ke-5 calon itu sendiri.

Bagi menjawab mengenai kelayakannya yang meraih PGNK 4.0 dengan markah merit 99.90%, KPT menghuraikan dengan lebih terperinci kedudukan atau ranking permohonannya dalam program perakaunan tersebut.

  1. UM – permohonan yang layak adalah 2,291 orang dengan seramai 1,127 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,129 dan UM menyediakan 85 tempat untuk diisi.
  2. UPM – permohonan yang layak adalah 4,154 orang dengan seramai 1,718 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,724 dan UPM menyediakan 100 tempat untuk diisi.
  3. UUM – permohonan yang layak adalah 2,595 orang dengan seramai 1,282 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,288 dan UUM menyediakan 350 tempat untuk diisi.
  4. UTM – permohonan yang layak adalah 2,292 orang dengan seramai 1,060 orang memperoleh merit 100%. Calon berada di kedudukan 1,062 dan UTM menyediakan 55 tempat untuk diisi.

Jelasnya lagi, calon telah ditawarkan tempat berdasarkan pencapaian merit dan pilihan program yang dipohon, sama seperti calon-calon yang lain.

Dengan penjelasan ini, pihak KPT menolak dakwaan wujudnya kelompongan dalam sistem sedia ada. Bahkan pihak mereka terbuka menerima sebarang pandangan dan penambahbaikan pada sistem sedia ada.

Selain itu, Jabatan Pendidikan Tinggi juga membuka kaunter konsultasi rayuan UPUOnline buat calon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut termasuk calon yang tidak berjaya di Ruang Legar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya sehingga 12 September 2025.

Semalam, seorang calon STPM, Edward Wong meluahkan rasa kecewa kerana harapan untuk melanjutkan dalam bidang perakaunan musnah kerana permohonannya ditolak.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.