KPT ‘bawa’ lebih 20 penaja di Hari Biasiswa 2026, peluang pelajar teroka tajaan pendidikan

LocalPersonal Finance
22 Sep 2026 • 4:43 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal menganjurkan Hari Biasiswa 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka (KOMBES), Ayer Keroh pada 26 dan 27 September ini.

Tingkatkan kesedaran tentang tajaan pendidikan

Program berkenaan dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pelbagai tawaran penajaan pendidikan tinggi dalam negara, selain memudahkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan peluang biasiswa.

Inisiatif baharu KPT  pastikan maklumat disampaikan dengan luas

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim menyatakan, program itu merupakan inisiatif baharu KPT bagi memastikan maklumat mengenai peluang biasiswa dapat disampaikan dengan lebih meluas dan mudah diakses pelajar serta bakal pelajar.

“Kita dapat maklum balas dari semasa ke semasa mengatakan maklumat berkaitan tawaran biasiswa yang boleh dimohon itu ada yang tidak sampai.
“Jadi, kita melaksanakan inisiatif untuk menyebarluaskan maklumat dan meningkatkan kesedaran tentang biasiswa yang ada di dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas sesi penyerahan Biasiswa Anak eKasih (BAeK) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Ayer Keroh.

Image from: KPT ‘bawa’ lebih 20 penaja di Hari Biasiswa 2026, peluang pelajar teroka tajaan pendidikan

Pelajar boleh dapatkan maklumat di sana

Menurut Adam Adli, Hari Biasiswa 2026 bukan sahaja melibatkan biasiswa kerajaan, malah turut menghimpunkan penaja daripada sektor swasta bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelajar.

Lebih 20 institusi, syarikat, yayasan dan agensi dijangka menyertai program itu, termasuk penaja antarabangsa dari Amerika Syarikat, Jepun, Hungary dan Rusia.

“Pelajar-pelajar boleh datang dan dapatkan maklumat itu sendiri, boleh berinteraksi dengan wakil-wakil antaranya PTPTN, Khazanah Nasional Bhd, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Petronas.
“Objektif utama adalah untuk menghimpunkan pelbagai agensi penaja di bawah satu bumbung, sekali gus memudahkan pelajar mendapatkan maklumat yang komprehensif, meneroka peluang penajaan secara meluas dan menerima khidmat konsultasi secara terus bagi melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi,” katanya.

Image from: KPT ‘bawa’ lebih 20 penaja di Hari Biasiswa 2026, peluang pelajar teroka tajaan pendidikan

Selain itu, Unit Pusat Universiti (UPU) Bergerak turut menyediakan kaunter penerangan secara bersemuka bagi membantu pelajar mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

“Kita buka kaunter-kaunter sebaran maklumat supaya pelajar boleh semak cara nak kira merit, kelayakan mereka dan sebagainya supaya mereka boleh buat pilihan yang lebih tepat,” katanya.

Program bertemakan “Menaja Potensi, Membina Legasi” itu turut menyediakan pameran penajaan, khidmat konsultasi UPUOnline secara bersemuka, demonstrasi kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain lima sesi bual bicara berkaitan biasiswa, penajaan dan laluan pendidikan tinggi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved