
KUALA TERENGGANU – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang memperhalusi isu gangguan bekalan air yang melibatkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara, termasuk masalah air kehitaman di Politeknik Kota Bharu (PKB), Kelantan, yang tular baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya masih menunggu laporan terperinci mengenai insiden di PKB sebelum menjalankan siasatan lanjut.
“Kita mahu tahu punca masalah terlebih dahulu, sama ada ia berpunca daripada kerosakan, kebocoran atau bekalan air yang tidak mencukupi,” katanya.
Mengulas lanjut, Zambry memaklumkan isu gangguan bekalan air di IPT bukan hanya berlaku di Kelantan, malah turut dilaporkan di beberapa negeri lain termasuk Sabah.
Menurut beliau, IPT hanyalah pengguna yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan air yang disediakan pihak berkuasa negeri, namun KPT akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri serta syarikat utiliti air bagi memastikan masalah itu diselesaikan segera.
“Kalau ada IPT menghadapi gangguan air, mereka boleh terus maklumkan kepada kita untuk diambil tindakan. Kita akan cari jalan penyelesaian, sama ada melibatkan sistem dalaman institusi atau pembekal utama,” jelasnya.


