
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebentar tadi (15 Julai) mengesahkan bahawa Network School yang bertapak di Forest City, Iskandar Puteri, Johor bukanlah sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
KPT menerusi satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan bahawa status tersebut sekaligus membuktikan Network School tidak diiktiraf atau dikawal selia kementerian itu.
Network School Tiada Sebarang Kerjasama Atau Pengiktirafan UA Atau IPTS – KPT
Semakan kementerian terbabit mendapati tiada sebarang kerjasama, pengiktirafan atau penglibatan Universiti Awam (UA) mahupun IPTS berdaftar dengan Network School berdasarkan rekod yang ada pada ketika ini.
“Berdasarkan maklumat diperolehi, Network School merupakan sebuah komuniti kediaman swasta dan ruang kerja bersama atau ‘co-working space’ untuk golongan usahawan teknologi, pelabur dan pengamal digital pemula atau ‘startup’.
“Pada masa sama, KPT dimaklumkan pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti isu ini mengikut bidang kuasa masing-masing,” jelas KPT.
Semalam (14 Julai), Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi Network School yang sedang berjalan di Iskandar Puteri termasuklah dakwaan terdapatnya warga Israel yang menyertai program berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: Ramai Bimbang Operasi Network School Di Forest City, Kerajaan Johor Gesa Siasatan Menyeluruh
Baca Artikel Berkaitan: “Nilai Tindakan, Bukan Pasportnya” – Usahawan AS Pertahan Komuniti Network School Di Forest City
KPT Beri Kerjasama Penuh Untuk Siasat Komuniti Network School
Dalam pada itu, KPT berkata pihaknya akan terus memantau isu melibatkan Network School dan akan memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi penguatkuasa bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi serta kepentingan sistem pendidikan tinggi negara sentiasa terpelihara.
Apa Yang Kita Tahu Tentang Network School?
Sebagai info, Network School diasaskan oleh Balaji Srinivasan. Beliau bukanlah individu biasa sebaliknya seorang pelabur teknologi dan bekas Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Coinbase, salah satu syarikat matawang kripto terbesar di dunia.
Malah beliau juga seorang penulis dan terkenal dengan idea yang dipanggil Network State.
Secara ringkasnya, konsep Network State adalah komuniti yang bermula secara dalam talian sebelum mempunyai penempatan sendiri yang lengkap dengan ekonomi dan budaya sendiri.
Pun begitu Balaji menerusi laman webnya tidak ada menyebut Network School terletak di Forest City, sebaliknya dia memaklumkan mereka mempunyai sebuah pulau cantik berdekatan Singapura yang kini menjadi lokasi Network School.
Mengulas mengenai Network School, Balaji menjelaskan Network School ini bukan untuk golongan muda sahaja, tetapi untuk semua peringkat umur. Ia direka sebagai sistem pembelajaran sepanjang hayat, bukan program sekali (one-off) sahaja.
Tambah Balaji, Network School memberi tumpuan kepada pembelajaran teknologi dan kemanusiaan melalui pendekatan pembelajaran berterusan sambil bergaul dengan orang yang berkongsi nilai sama.
Sistem ini juga dikatakan sesuai untuk digital nomad atau mereka yang bekerja secara ‘remote’.
Baca Artikel Berkaitan: YouTuber Dakwa Ada Komuniti Teknopreneur Beli Bangunan Di Forest City, Konon Nak Tubuh ‘Negara’ Sendiri? [Video]





