
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membuat penilaian semula secara menyeluruh struktur tadbir urus anak syarikatnya, UiTM Holdings ekoran prestasi kewangan yang mencatatkan kerugian.
Jelas Anwar, langkah itu penting untuk mengenal pasti punca serta kelemahan dalam pengurusan bagi memastikan tindakan yang akan diambil terhadap mana-mana entiti kerajaan dibuat berdasarkan fakta serta hasil penelitian.
KPT Teliti & Susun Semula Syarikat Pegangan Universiti
Malam tadi (27 September), Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjelaskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memulakan langkah meneliti serta menyusun semula semua syarikat pegangan universiti termasuk UiTM Holdings sejak tahun lalu.
Jelasnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan syarikat berkenaan berfungsi dengan lebih berkesan sekaligus dapat menyumbang kepada institusi maisng-masing selepas kerajaan tidak menanggung sepenuhnya keperluan kewangan universiti sejak tahun 2017.
“Kita telah meminta supaya dilihat keseluruhan holdings di universiti. Sejak tahun lepas, saya telah meminta supaya kita melihat bagaimana hendak merombak kembali kedudukan syarikat-syarikat pegangan yang ada di universiti.
“Apa yang kita dapati, ada juga holdings yang tidak berfungsi dengan begitu baik.
“Itu langkah pertama yang kita buat dan telah pun kita mulakan beberapa siri untuk melihat semula holdings itu, termasuk UiTM Holdings,” katanya dipetik Harian Metro.
Zambry berkata demikian selepas ditanya tentang tindakan susulan KPT ekoran arahan Anwar yang meminta pengurusan serta tadbir urus UiTM Holdings diteliti semula berikutan kerugian yang dialami.
Ada Syarikat Pegangan Universiti Catat Keuntungan, Ada Yang Alami Kerugian
Jelas Zambry lagi, ada syarikat pegangan universiti yang mencatatkan keuntungan namun ada juga yang mengalami kerugian.
Ekoran ini, syarikat yang menunjukkan prestasi baik boleh dijadikan model serta contoh kepada syarikat yang lain.
Satu Pasukan Ditubuhkan Bagi Membuat Penilaian Secara Menyeluruh
Mengulas lanjut tentang UiTM, Zambry menjelaskan satu pasukan diwujudkan bagi melihat secara menyeluruh usaha untuk memperkasakan universiti terbabit.
Ia termasuklah aspek berkaitan syarikat pegangannya.
Difahamkan, pasukan tersebut bakal melibatkan beberapa individu antaranya seperti tokoh korporat, Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Datuk Dr Hamzah Kassim.
Turut terlibat sama adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan bekas Menteri Pendidikan Tinggi Tan Sri Idris Jusoh.
“Kita wujudkan satu pasukan baharu untuk melihat secara keseluruhan bagaimana kita hendak melihat semula UiTM dan ini juga melibatkan holdings dan sebagainya.
“UiTM ialah sebuah institusi pendidikan tinggi bumiputera yang sangat penting, yang perlu kita jaga dan pertahankan supaya tidak berlaku elemen-elemen yang tidak baik di universiti itu,” ujarnya.
Tambah Zambry lagi, langkah yang diumumkan oleh Anwar pada Sabtu (26 September) adalah selari dengan usaha yang KPT yang akan meneruskan penelitian berkenaan.
Sebelum ini, UiTM Holdings dilaporkan mencatatkan kerugian sebanyak RM157 juta sebelum cukai terkumpul bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.
SPRM Buka Beberapa Kertas Siasatan Berkaitan UiTM Holdings
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini mengesahkan pihaknya telah membuka beberapa kertas siasatan berhubung kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings yang telah berlangsung pada tahun 2023.
Antara projek yang disiasat adalah melibatkan pembangunan projek solar 50MW di Gambang Pahang yang melibatkan bayaran sebanyak RM42 juta.
Difahamkan, siasatan masih berlangsung dan sedang menunggu arahan lanjut dari pihak pendakwaan.
Lapor Harian Metro yang memetik sumber, projek terbabit didakwa dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).
Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil,” katanya.
Kerugian UiTM Holdings Bukan Kerugian Baharu Bawah Pimpinan Semasa, Ia Kerugian Terkumpul – Pengerusi
Terdahulu, Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menjelaskan kerugian RM157 juta itu merupakan kerugian terkumpul semenjak tahun 2007 dan bukan kerugian baharu di bawah pimpinan semasa.
Jelasnya, isu terbabit turut diteliti menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 dan prosiding PAC sebelum ia dibentangkan pada tahun 2024.
“Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh menerajui pengurusan UiTM Holdings sejak Januari 2025, dengan pengalaman pernah menerajui Malaysia Airports, KPJ Healthcare serta memegang posisi penting dalam beberapa GLC dan organisasi korporat utama.
“Saya pula mengambil amanah sebagai Pengerusi pada Ogos 2025. Bersama Lembaga Pengarah dan pengurusan, mandat kami jelas: memulihkan prestasi, memperkukuh tadbir urus, membina semula keyakinan dan meletakkan UiTM Holdings kembali pada landasan pertumbuhan.
“Kami tidak menggunakan legacy issues sebagai alasan. Kami mengenal pasti legasi tersebut untuk menyelesaikannya,” katanya.
Fathul yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM turut berharap agar isu terbabit tidak dipolitikkan.
Ini kerana jelasnya, isu berkenaan bukan isu politik namun ia adalah isu pemulihan sebuah aset milik universiti.
Anwar sewaktu berucap di Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri pada Sabtu (26 September) lalu mengisytiharkan Kampus UiTM Jalan Othman, Petaling Jaya ditukarkan nama kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM2.5 juta bagi tujuan menaik taraf kampus tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: ‘7 Daripadanya Rugi 100%’ – Amir Hamzah Dedah Tabung Haji Kerugian RM13 Bilion Daripada 14 Pelaburan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Kerugian Pelaburan FashionValet: Vivy & Suami Mohon Maaf, Lepas Jawatan Dalam FV






