KPTM perkasa digitalisasi, anjur kursus berimpak tinggi tingkat produktiviti kakitangan

LocalTechnology
22 Apr 2026 • 6:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPTM perkasa digitalisasi, anjur kursus berimpak tinggi tingkat produktiviti kakitangan
Mohd Yusof (duduk, dua dari kiri) bersama peserta yang mengikuti kursus 'Transformasi Digital: Produktiviti Tempat Kerja dan Proses Pendigitalan '.

SHAH ALAM - Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) memperkasa agenda digitalisasi dalam kalangan kakitangan menerusi penganjuran kursus berimpak tinggi sebagai usaha meningkatkan produktiviti serta kecekapan kerja.

Pengarah Kanan Jabatan Modal Insan KPTM, Mohd Yusof Mohd Ali berkata, kursus 'Transformasi Digital: Produktiviti Tempat Kerja dan Proses Pendigitalan' yang berlangsung selama dua hari bermula 21 April lalu dilaksanakan bagi memastikan warga kerja sentiasa bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan yang dipacu teknologi.

"Dengan kerjasama Pennawrites Academy PLT, program ini melibatkan 30 kakitangan daripada pelbagai jabatan untuk memberi pendedahan kepada konsep transformasi digital serta kaedah mengenal pasti peluang pendigitalan dalam proses kerja sedia ada.

"Peserta turut dilatih mengoptimumkan aliran kerja manual kepada sistem digital yang lebih tersusun dan efisien, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi organisasi," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Program yang dijalankan di ibu pejabat KPTM Cheras itu juga memberi fokus kepada aspek pengurusan data dan pembangunan dashboard menggunakan Google Workspace, termasuk teknik automasi pelaporan serta visualisasi data bagi menyokong pembuatan keputusan berasaskan data.

Selain itu ujarnya, pendekatan 'hands-on workshop' yang dilakukan membolehkan peserta membangunkan 'Digital Process Mapping Framework' serta templat pelaporan yang boleh terus diaplikasi dalam tugasan harian.

"Fokus kita bukan sekadar memberi pendedahan, tetapi memastikan setiap peserta mampu mengaplikasikan ilmu yang diperoleh bagi meningkatkan produktiviti kerja dan kecekapan proses di tempat masing-masing.

"Usaha memperkasa kemahiran digital ini merupakan satu pelaburan strategik organisasi dan Jabatan Modal Insan sentiasa prihatin terhadap keperluan digitalisasi dalam organisasi," jelasnya.

Sementara itu Mohd Yusof memaklumkan, kerjasama strategik bersama penyedia latihan membolehkan program dilaksanakan secara lebih tersusun, praktikal dan selari dengan keperluan semasa industri.

"KPTM komited melahirkan tenaga kerja yang lebih kompeten, adaptif dan bersedia mendepani cabaran transformasi digital secara menyeluruh," katanya.