Kredit RM100 SARA memasuki bulan terakhir, tamat 31 Disember 2025

LocalBusiness & Finance
3 Dec 2025 • 5:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kredit RM100 SARA memasuki bulan terakhir, tamat 31 Disember 2025
image is not available
haziq03/12/2025 - 17:58 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Dis – Kredit sekali bayar RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini memasuki bulan terakhir dan akan tamat tempoh pada 31 Disember 2025.

 

SARA yang merupakan sebahagian daripada strategi rasionalisasi subsidi kerajaan menyalurkan RM100 secara terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan sebagai kaedah bayaran tanpa tunai. 

 

Baki yang tidak digunakan akan dibawa ke bulan berikutnya, namun keseluruhan kredit akan luput selepas 31 Disember 2025.

 

Kredit tersebut boleh digunakan untuk 14 kategori barangan keperluan asas di lebih 7,300 premis runcit termasuk pasar raya besar, pasar mini dan kedai runcit. 

 

Antara barangan terlibat ialah beras, bahan pencuci rumah dan barangan kebersihan diri.

 

Bagi pengguna kali pertama, mereka perlu menetapkan PIN enam digit sistem MyKasih dan memasukkan PIN tersebut untuk meluluskan transaksi selepas pengimbasan MyKad di kaunter.

 

Kerajaan turut mengumumkan pemberian tunai secara sekali bayar RM100 buat kali kedua di bawah Sumbangan Asas Rahmah kepada semua warganegara dewasa yang dijadualkan pada Februari 2026.

 

Di bawah Belanjawan 2026, kerajaan mengekalkan peruntukan keseluruhan RM15 bilion bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA, sama seperti tahun sebelumnya.

 

Daripada jumlah itu, peruntukan SARA dijangka meningkat kepada sekitar RM9.9 bilion pada 2026, berbanding RM5.1 bilion pada 2025, mencerminkan peralihan kerajaan ke arah bantuan bulanan bersasar bagi barangan keperluan.

 

Sebaliknya, peruntukan STR dijangka berkurangan kepada RM6.2 bilion pada 2026 daripada RM8.5 bilion pada 2025, sejajar dengan langkah penstrukturan semula bantuan tunai kepada golongan sasaran. - DagangNews.com

Terkini standard