Pasaran hartanah kediaman Malaysia kekal kukuh, harga dijangka naik 2–4% pada 2026

3 Dec 2025 • 2:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pasaran hartanah kediaman Malaysia kekal kukuh, harga dijangka naik 2–4% pada 2026
image is not available
haziq03/12/2025 - 14:26 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Dis – Pasaran hartanah kediaman Malaysia terus kukuh sepanjang 2025 dengan lonjakan ketara unit siap bangun serta permintaan yang cukup stabil untuk menyerap bekalan baharu, menurut Juwai IQI.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, pasaran perumahan tahun ini didorong oleh nilai transaksi yang stabil, pengurangan perancangan bekalan baharu serta sokongan kadar faedah.

 

“Secara keseluruhan, pasaran perumahan Malaysia pada 2025 adalah sihat. Syarikat melihat kestabilan nilai transaksi, penurunan perancangan bekalan tambahan dan sokongan kadar faedah yang berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ansari berkata, jumlah rumah baharu yang siap dibina melonjak 23.4% pada tahun ini berbanding 2024, didorong oleh penyampaian semula projek yang tertangguh sejak pandemik.

 

“Syarikat melihat lonjakan unit siap tahun ini apabila projek yang tertangguh sejak pandemik mula diserahkan kepada pembeli. Walaupun siap bangun meningkat 23.4%, pasaran berjaya menyerap sebahagian besar bekalan itu,” katanya.

 

Menurutnya, lebihan unit pangsapuri servis (overhang) pada suku ketiga 2025 adalah 11% lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, menandakan keseimbangan bekalan-permintaan yang semakin baik.

 

Dalam masa sama, pemaju mengambil pendekatan berhati-hati bagi tempoh 2026 dan 2027, dengan permulaan pembinaan rumah baharu dijangka menurun sebanyak 2%, manakala jumlah unit yang masih dalam peringkat perancangan dan belum memasuki fasa pembinaan dijangka susut hampir 18%.

 

“Pendekatan berhati-hati ini dijangka terus meningkatkan kesihatan pasaran dan berpotensi menolak harga ke paras lebih tinggi. Pelabur sedia ada dijangka meraih manfaat,” katanya.

 

Tambah Ansari, Indeks Harga Rumah meningkat 3.5% pada suku pertama 2025 dan harga tidak pernah susut secara tahunan sejak sekurang-kurangnya 2021.

 

“Kenaikan harga yang konsisten ini turut disokong oleh dasar kadar faedah. Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar untuk tempoh yang panjang dan hanya memotongnya tahun ini buat kali pertama sejak Mei 2020. Kadar OPR kini berada pada 2.75%, iaitu paras yang menyokong pertumbuhan tanpa mencetuskan inflasi,” katanya.

 

Menurut Juwai IQI, tahun 2026 dijangka menjadi antara tahun terbaik sektor hartanah sejak 2019, sekiranya tiada kejutan ekonomi global.

 

“Kes asas syarikat bagi 2026 ialah pertumbuhan harga rumah yang sedikit lebih pantas dalam lingkungan 2–4%. Harga dijangka naik secara sederhana, bukannya melonjak mendadak,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, pertumbuhan akan didorong oleh pembeli rumah pertama dan golongan muda yang menaik taraf kediaman apabila memulakan keluarga, selain sokongan pertumbuhan pendapatan isi rumah.

 

Menurut Juwai IQI, tahun 2026 dijangka menjadi antara tahun terbaik sektor hartanah sejak 2019, sekiranya tiada kejutan ekonomi global.

 

“Kes asas kami bagi 2026 ialah pertumbuhan harga rumah yang sedikit lebih pantas dalam lingkungan 2–4%. Harga dijangka naik secara sederhana, bukannya melonjak mendadak,” katanya.

 

Beliau menjelaskan, pertumbuhan akan didorong oleh pembeli rumah pertama dan golongan muda yang menaik taraf kediaman apabila memulakan keluarga, selain sokongan pertumbuhan pendapatan isi rumah.

 

Menurut Ansari, Johor kini menjadi negeri paling menonjol dengan pembelian rumah meningkat 13% pada separuh pertama tahun ini, manakala harga melonjak 5.7% secara tahunan.

 

“Johor mendapat manfaat langsung daripada Zon Ekonomi Khas (SEZ) dan pelaburan infrastruktur terutamanya RTS. Kami menganggarkan SEZ berupaya menyumbang sehingga RM19.8 bilion kepada KDNK negara dalam tempoh 10 tahun, dengan sebahagian besar tertumpu di Johor,” katanya.

 

Beliau menambah, kawasan sekitar RTS dan laluan terpilih MRT/LRT Lembah Klang dijangka mencatat pertumbuhan harga yang mengatasi purata nasional.

 

Menurut Ansari, satu-satunya risiko besar kepada prospek semasa ialah kejutan ekonomi yang boleh menjejaskan pekerjaan, keyakinan pengguna dan akses kredit.

 

“Namun, kami tidak menjangkakan senario tersebut berlaku. Jangkaan utama kami kekal kepada permintaan yang stabil, bekalan yang terkawal dan infrastruktur yang semakin kukuh. Dari perspektif hartanah, tahun 2026 kelihatan cerah,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard