hamden15/05/2026 - 18:25 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Mei - Pengerusi Bukan Eksekutif IJM Corporation Berhad, Tan Sri Krishnan Tan menyambut baik keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengklasifikasikan siasatan terhadap beliau sebagai “No Further Action” (NFA).
“Keputusan ini amat dialu-alukan kerana saya sejak awal lagi tetap mempertahankan bahawa saya tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SPRM menerusi surat bertarikh 30 April 2026 mengesahkan siasatan terhadapnya telah selesai dan tiada tindakan lanjut akan diambil.
Krishnan berkata, siasatan serta laporan media berkaitan perkara itu telah memberi kesan besar terhadap reputasinya selain menjejaskan legasi sepanjang hayat dalam perkhidmatan awam dan korporat.
Menurutnya, situasi tersebut turut memberi tekanan besar kepada keluarga, rakan-rakan dan organisasi yang diwakilinya.
“Saya amat menghargai sokongan isteri, keluarga dan rakan-rakan rapat yang terus berdiri bersama saya sepanjang tempoh sukar ini,” katanya.
Krishnan Tan berkata, beliau kini mahu meninggalkan episod mencabar itu dan meneruskan kehidupan serta tanggungjawabnya seperti biasa. - DagangNews.com




