SPRM klasifikasikan siasatan terhadap Pengerusi IJM, Krishnan Tan sebagai ‘No Further Action’

LocalBusiness & Finance
15 May 2026 • 6:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SPRM klasifikasikan siasatan terhadap Pengerusi IJM, Krishnan Tan sebagai ‘No Further Action’ Image from: SPRM klasifikasikan siasatan terhadap Pengerusi IJM, Krishnan Tan sebagai ‘No Further Action’ hamden15/05/2026 - 18:09 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Mei - IJM Corporation Berhad memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menamat dan mengklasifikasikan siasatan terhadap Pengerusi Bukan Eksekutifnya, Tan Sri Krishnan Tan sebagai “No Further Action” (NFA) berhubung tawaran pengambilalihan sukarela oleh Sunway Berhad.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IJM berkata, Krishnan Tan telah memaklumkan kepada syarikat bahawa SPRM menerusi surat bertarikh 30 April 2026 mengesahkan siasatan berkaitan tawaran pengambilalihan tersebut telah selesai.

 

 

 

 

“Sehubungan itu, tiada prosiding lanjut atau pendakwaan akan diteruskan,” kata IJM.

 

Dalam kenyataan berasingan, IJM berkata, syarikat mengalu-alukan penyelesaian perkara itu selepas memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses siasatan dijalankan.

 

Katanya, seperti diumumkan sebelum ini pada 24 Mac 2026, SPRM turut mengesahkan siasatan tersebut tidak melibatkan IJM Corporation Berhad sebagai sebuah entiti korporat.

 

“Dengan perkara ini selesai, IJM akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan keutamaan strategik serta membuka nilai portfolio merentasi perniagaan teras kumpulan,” katanya.

 

Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada pemegang saham, pelanggan, rakan niaga, pekerja dan pihak berkepentingan atas sokongan berterusan yang diberikan. 

 

 

 

 

 

Pada 21 Januari lalu, BERNAMA melaporkan SPRM membuat pemeriksaan dan penggeledahan di empat lokasi berasingan dalam siasatan kes Ops Heart melibatkan IJM.

 

Siasatan tersebut dipercayai berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion. - DagangNews.com

Terkini featured standard