SEMALAM bermulalah fasa baharu buat Tan Sri Azam Baki sebagai rakyat biasa. Beliau kini bebas sepenuhnya daripada protokol dan beban tugas penjawat awam setelah lebih 40 tahun menabur bakti.
Bermula dari era Badan Pencegah Rasuah (BPR) sehingga ke puncak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam adalah saksi dan pemacu evolusi integriti negara.
Beliau mengambil alih kerusi panas itu ketika agensi tersebut dihimpit pelbagai polemik pelantikan sebelum itu, namun itu bukan halangan.
Di bawah kepimpinan beliau, SPRM tidak lagi sekadar ‘menyalak’ tetapi ‘menggigit’. Ketegasan Azam dalam menyentuh golongan ‘jerung’, tokoh politik, ahli korporat dan penjawat awam berprofil tinggi membuktikan beliau tidak gentar kepada sesiapa. Malah, beliau cukup lali dengan kecaman.
Malahan beliau sendiri pernah menjadi mangsa politikus yang meminta beliau dikenakan tindakan dan melepaskan jawatan ketua pesuruhjaya.
Pernah beliau dengan lantang menyelar pihak yang mempersoalkan tindakan penguatkuasaan sebagai ‘si bodoh’. Baginya, daripada mempersoalkan SPRM yang bekerja, lebih baik pertikaikan mereka yang gagal menjalankan amanah akibat amalan rasuah. Kini, legasi 42 tahun Azam Baki berakhir. Era baharu bermula di bawah teraju Datuk Seri Abd Halim Aman.
Berbeza dengan Azam yang merupakan pakar risikan dan siasatan, Abd Halim membawa perspektif seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang arif tentang selok-belok perundangan.
Harapan rakyat sangat tinggi — mahu melihat kepakaran perundangan beliau diterjemahkan kepada pendakwaan yang lebih berkualiti dan sabitan yang lebih ampuh. Kita tidak mahu sekadar melihat tangkapan hebat di televisyen, tetapi akhirnya kes terlepas di mahkamah akibat teknikal.
Tugas Abd Halim adalah untuk memastikan lebih ramai ‘jerung’ bukan sahaja dicekup, tetapi dihukum. Tindakan ini penting sebagai peringatan keras kepada semua, bahawa rasuah adalah barah yang merugikan negara.
Zaman Azam sudah berlalu dengan rekod yang cemerlang. Kini, masanya untuk Abd Halim membuktikan bahawa pedang keadilan SPRM akan terus tajam, tanpa memilih bulu.
Jangan tunggu lagi, bersihkan negara ini!






