SEREMBAN – Krisis adat yang sedang melanda Negeri Sembilan ketika ini perlu diselesaikan oleh pemimpin adat dan anak buah melalui semangat muafakat tanpa adanya campur tangan mana-mana ahli politik.
Pendirian tegas itu antara rumusan utama Sidang Meja Bulat (RTD) bertemakan 'Merungkai Tali Nan Tersimpul, Tegak Negeri Kerana Muafakat' yang dianjurkan Pejabat Senator baru-baru ini.
Sesi yang menghimpunkan pelbagai pemegang taruh terdiri daripada cendekiawan, pengkaji, pengamal adat, pemimpin masyarakat dan pempengaruh media sosial itu membincangkan isu berkenaan secara lebih ilmiah dan berfakta bagi mencari jalan penyelesaian terbaik sekali gus memastikan institusi adat Negeri Sembilan terus terpelihara.
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Jufitri Joha memaklumkan, perbincangan tersebut mengambil pendirian tegas bahawa ahli politik khususnya tidak wajar campur tangan dalam krisis yang sedang berlaku.
Bagaimanapun katanya, kewujudan pihak ketiga yang berkecuali amat diperlukan bagi membantu merintis jalan tengah, berikutan terdapat segelintir pihak yang menangguk di air yang keroh menyebabkan krisis bertambah sulit dan rumit.
"Kerajaan negeri melalui perkenaan kedua-dua institusi Yang di- Pertuan Besar dan Undang Yang Empat perlu memainkan peranan sebagai membuka jambatan dialog dan pintu perundingan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu katanya, sesi tersebut turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh institusi adat Negeri Sembilan untuk jangka panjang.
Ujarnya, terdapat enam cadangan dikemukakan termasuklah mendokumentasikan garis panduan dan protokol pelantikan pemimpin adat di setiap luak bagi mengelakkan kekeliruan pada masa depan.
"Cadangan lain ialah penubuhan sebuah institut khusus bagi menjalankan penyelidikan mengenai sejarah, adat perpatih dan adat Melayu Negeri Sembilan, selain mewujudkan jawatan penasihat adat di Pejabat Menteri Besar serta Kerajaan Negeri Sembilan.
"Selain itu dicadangkan pembinaan balai adat di setiap luak sebagai pusat rujukan dan medan perbincangan berkaitan hal ehwal adat, penubuhan Majlis Adat Perpatih Negeri Sembilan," katanya.
Selain itu kata Jufitri, memperkasakan pendidikan adat kepada generasi muda dan pelajar sekolah melalui penyelarasan Yayasan Negeri Sembilan bagi meningkatkan kefahaman serta jati diri anak negeri.
Tambahnya, sebagai susulan kepada perbincangan tersebut, mereka turut bersetuju menubuhkan Sekretariat Adat Warisan Pusaka Alam Nismilan sebagai platform tidak formal untuk memantau dan memastikan cadangan-cadangan yang dikemukakan mendapat perhatian kerajaan negeri.






