Krisis air di Pasir Mas, Rantau Panjang tamat 2027

LocalPolitics
7 May 2026 • 1:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis air di Pasir Mas, Rantau Panjang tamat 2027
Masalah bekalan air yang sekian lama menghantui penduduk di Pasir Mas dan Rantau Panjang dijangka berakhir apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 akan mula menyalurkan bekalan air berkualiti kepada pengguna selewat-lewatnya Mac 2027. Gambar kecil: Dr Izani

PASIR MAS - Masalah bekalan air yang sekian lama menghantui penduduk di Pasir Mas dan Rantau Panjang dijangka berakhir apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kelar 2 akan mula menyalurkan bekalan air berkualiti kepada pengguna selewat-lewatnya Mac 2027.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, projek berkapasiti 25 juta liter sehari itu bakal melengkapkan keperluan air di seluruh Pasir Mas yang ketika ini masih berdepan kekurangan kira-kira 15 juta liter sehari.

Menurut beliau, apabila siap kelak, loji tersebut bukan sahaja mampu menampung keperluan semasa malah menyediakan lebihan kapasiti air untuk pembangunan baharu di kawasan berkenaan.

"Loji Kelar 1 ketika ini menyediakan air sebanyak 75 juta liter sehari, namun seluruh Pasir Mas masih kekurangan sekitar 15 juta liter sehari.

"Dengan siapnya Kelar 2 yang mempunyai kapasiti 25 juta liter sehari, ia mampu menampung keseluruhan keperluan di Pasir Mas dan masih mempunyai lebihan sekitar 10 juta liter sehari," katanya semasa sidang akhbar kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek LRA Kelar 2 di sini pada Khamis.

Hadir sama ialah Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Azhar Hanafi.

 


Kelantan sasar selesai isu air menjelang 2030

PASIR MAS – Kerajaan Kelantan meletakkan sasaran isu air di negeri ini akan selesai menjelang tahun 2030 apabila semua projek loji rawatan air (LRA) dapat disiapkan sepenuhnya.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, apabila semua projek LRA siap, kapasiti pengeluaran air di Kelantan dijangka meningkat kepada sekitar 830 hingga 850 juta liter sehari dan mampu menampung keperluan seluruh penduduk negeri ini.

"Ketika ini terdapat 43 loji rawatan air yang sedang beroperasi dan lebih 10 lagi loji termasuk sistem tubewell serta sumber air permukaan sungai sedang dibina atau dalam perancangan.

"Kita juga sedang giat membina LRA baharu di seluruh negeri bagi memastikan kapasiti pengeluaran air dapat memenuhi keperluan rakyat," katanya semasa sidang akhbar kepada pemberita semasa mengakadan lawatan kerja ke tapak projek LRA Kelar 2 di sini pada Khamis.

Hadir sama ialah Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Saizol Ismail dan Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Azhar Hanafi.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, Kerajaan Kelantan memerlukan kira-kira RM1 bilion bagi menggantikan lebih 1,000 kilometer (km) paip lama di seluruh negeri dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.

Ujarnya, ketika ini terdapat kira-kira 4,000 km paip uzur di Kelantan yang perlu diganti secara berperingkat.

Menurut beliau, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ketika ini hanya meluluskan penggantian sekitar 150 km paip setahun, sekali gus menyebabkan proses berkenaan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan sepenuhnya.

"Kalau ikut kiraan mudah, 4,000 km dibahagi 150 km setahun, ia memang akan ambil masa bertahun-tahun lagi untuk disiapkan.

"Projek penggantian paip ini sebenarnya sudah bermula sejak 2016 dan selepas tempoh Covid-19, kita lihat banyak kemajuan dapat dilakukan," katanya.

Ujar beliau, bagi pelan perniagaan SPAN 2027 hingga 2031, kerajaan negeri memohon kelulusan bagi menggantikan kira-kira 1,035 km paip di seluruh Kelantan.

Tambahnya, kos penggantian paip sangat tinggi iaitu dianggarkan sekitar RM1 juta bagi setiap satu kilometer.

"Maknanya kalau 1,000 km, kosnya sudah mencecah RM1 bilion dan pembiayaan itu adalah pinjaman daripada SPAN yang perlu dibayar semula oleh AKSB (Air Kelantan Sdn Bhd).

"Sebab itu kita berharap kadar penggantian paip dapat ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada 200 km setahun supaya masalah ini dapat diselesaikan lebih cepat," katanya.

Dalam pada itu, Dr Izani mengakui kadar Non-Revenue Water (NRW) atau air tidak berhasil di Kelantan masih tinggi iaitu sekitar 55 peratus ketika ini.

Beliau berkata, antara punca utama NRW ialah kebocoran paip yang lambat dibaiki, sambungan haram dan penghantaran air percuma menggunakan lori kepada pengguna yang terjejas.

"Setiap satu peratus NRW dianggarkan melibatkan kerugian RM2 juta hingga RM3 juta. Kalau kadar NRW sekarang 55 peratus, kerugian itu memang besar setiap tahun.

"Kita sasarkan dapat turunkan kepada 50 peratus dalam masa terdekat dan kalau berjaya capai 40 peratus menjelang 2030, itu satu pencapaian yang sangat baik," katanya.

Beliau berkata, daripada lebihan kapasiti itu, sebanyak tiga juta liter sehari akan disalurkan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Rantau Panjang melibatkan kawasan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Halal Hub, Penjara Satelit dan Lubuk Jong.

"Insya-ALLAH, masalah air di kawasan Rantau Panjang juga dapat diselesaikan sepenuhnya apabila projek ini siap nanti," ujarnya.

Menurut beliau, projek LRA Kelar 2 kini mencapai kemajuan 39.5 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027 sebelum melalui tempoh ujian sistem selama dua bulan.

Tambahnya, mereka menyasarkan air boleh sampai kepada pengguna selewat-lewatnya Mac 2027 selepas proses ujian penyampaian, kuantiti dan kualiti air selesai dilaksanakan.

Dr Izani memberitahu, ketika ini Pasir Mas mempunyai sebanyak 36,300 akaun pengguna dan masih terdapat beberapa kawasan yang berdepan masalah tekanan air rendah serta bekalan tidak sampai sepenuhnya.

Ujarnya lagi, dengan siapnya loji baharu itu, semua akaun pengguna di Pasir Mas dijangka menerima bekalan air yang lebih stabil dan mencukupi.

"Malah lebihan kapasiti air nanti membolehkan AKSB membuka permohonan akaun baharu kerana kuantiti bekalan sudah mencukupi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan kualiti sumber air mentah bawah tanah di tapak LRA Kelar 2 sebagai antara yang terbaik di negeri ini.

"Satu lagi yang saya rasa sangat gembira ialah tapak LRA Kelar 2 ini dari segi kualiti air mentah bawah tanah berada dalam keadaan bersih.

"Kandungan mangan dan besi juga tidak signifikan serta boleh dirawat menggunakan loji sedia ada. Ini berita yang sangat baik kerana tidak seperti di Merbau Chondong atau Kampung Teluk yang mempunyai masalah serius berkaitan kualiti air mentah," katanya.