Krisis Asia Barat: Lebih 1,000 pelajar Kelantan selamat

18 Oct 2026 • 4:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Krisis Asia Barat: Lebih 1,000 pelajar Kelantan selamat

KOTA BHARU: Lebih 1,000 pelajar Kelantan di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang melanjutkan pengajian di beberapa negara Asia Barat, dilaporkan selamat meskipun rantau itu berdepan situasi bergolak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, setakat proses pengajian masih berjalan dan masing-masing berada dalam keadaan terkawal.

“Buat masa ini, semua pelajar terbabit masih meneruskan pengajian seperti biasa dan kita sentiasa berhubung dengan pelajar-pelajar di sana secara dalam talian.

“Kerajaan Negeri Kelantan sendiri turut menyediakan tiga pegawai di sana khusus untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar kita,” katanya semasa sidang media penganjuran Karnival Rakyat Kelantan: Sambutan 36 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Wan Roslan berkata, Kelantan turut mencatatkan pertambahan 147 pelajar yang baru dihantar untuk memulakan pengajian semester pertama di beberapa negara Asia Barat.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 93 pelajar memulakan pengajian di Mesir, 17 di Tunisia dan 13 di Jordan.

“Setakat ini, kita mempunyai lebih 500 pelajar di Mesir, 200 pelajar di Jordan dan hampir 30 pelajar di Madinah. Kita juga mempunyai ramai pelajar di Riyadh dan Universiti Ummul Al-Qura, Mekah,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 19 orang maut manakala 364 lagi cedera dalam serangan kumpulan Houthi dari Yaman ke atas beberapa lapangan terbang di Arab Saudi, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha. – UTUSAN

 

The post Krisis Asia Barat: Lebih 1,000 pelajar Kelantan selamat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved