Krisis Asia Barat lonjakkan kos bahan api, surcaj elektrik

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 1:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Krisis Asia Barat lonjakkan kos bahan api, surcaj elektrik

KUALA LUMPUR – Lonjakan harga bahan api dunia susulan krisis geopolitik di Asia Barat, khususnya gangguan keselamatan di Selat Hormuz telah mengakibatkan kos bahan api seperti gas dan arang batu pada suku kedua dan ketiga 2026 meningkat jauh melangkaui paras harga asas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kos bahan api berkenaan melonjak jauh melangkaui harga asas yang telah ditetapkan semasa penetapan tarif asas di bawah kerangka Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) bagi tempoh kawal selia keempat (RP4) 2025 hingga 2027.

“Lonjakan harga bahan api ini telah menyebabkan peningkatan kos penjanaan elektrik di Semenanjung dan diterjemahkan kepada kadar surcaj Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) dalam bil elektrik pengguna,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai antara faktor utama yang mendorong peningkatan mendadak caj bayaran elektrik isi rumah domestik kebelakangan ini serta bagaimana situasi semasa tersebut selaras dengan jaminan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, faktor lain yang mendorong kepada kenaikan mendadak caj bayaran elektrik isi rumah adalah keadaan cuaca panas yang berpanjangan dan pengurangan kapasiti penjanaan sebahagian loji jana kuasa.

“Akibat keadaan suhu persekitaran semasa yang lebih panas dan berpanjangan, kekerapan dan tempoh penggunaan peralatan elektrik yang berkapasiti besar khususnya penyaman udara telah meningkat secara mendadak.

“Pada masa yang sama, faktor lain seperti pengurangan penjanaan daripada sumber hidro disebabkan keadaan cuaca panas berpanjangan dan henti tugas berjadual di loji jana kuasa arang batu turut mengakibatkan kebergantungan operasi yang lebih tinggi kepada penggunaan gas asli cecair (LNG) yang diimport.

“Oleh itu, kos pembelian bahan api bagi penjanaan elektrik yang terpaksa ditanggung semasa krisis adalah lebih tinggi daripada kos yang diunjurkan dalam tempoh RP4,” katanya. – Bernama

The post Krisis Asia Barat lonjakkan kos bahan api, surcaj elektrik appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved