
Krisis Asia Barat: Nuh Travel Alih Fokus 40% Produk Ke Destinasi Lebih Selamat, Tawar Pilihan Bayaran Balik Penuh
KUALA LUMPUR -- Susulan situasi tidak menentu di Asia Barat, Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd. (Nuh Travel) mengambil langkah proaktif dengan mengalihkan fokus produk pelancongannya ke destinasi yang lebih selamat dan stabil.
Ketua Pegawai Eksekutif Nuh Travel, Abdul Halim Aliumar berkata, sebanyak 40% daripada kelainan produk syarikat itu kini disasarkan ke negara-negara yang mempunyai pergerakan pelancongan aktif dan jauh daripada kawasan konflik atau "kawasan panas".

Fokus Destinasi Selamat dan Strategi Mitigasi
Menurut beliau, data semasa menunjukkan pasaran Asia Tenggara dan beberapa negara lain sangat rancak, membolehkan Nuh Travel memperkenalkan pakej yang lebih mampu milik.
"Kita menyasarkan pakej pelancongan ke destinasi seperti Indonesia, Australia, negara-negara Asia Tenggara, dan New Zealand. Kami cuba mengelakkan tempat yang sedang mengalami krisis.
"Selain itu, kami juga menasihatkan pelanggan untuk menunda penerbangan jika perlu kerana kami mempunyai hubungan baik dengan syarikat penerbangan sebagai pemegang stok tiket," katanya.
Tambah beliau lagi, Nuh Travel kini menawarkan pilihan bayaran balik penuh (full refund) serta mewajibkan pengambilan insurans yang lebih komprehensif dengan perlindungan yang telah dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan pelanggan.
Bagaimanapun, Abdul Halim berkata penerbangan ke Timur Tengah masih berjalan setakat ini, dengan pihaknya sentiasa memantau aktif jadual penerbangan bagi mengelakkan sebarang gangguan perjalanan.
"Malah dua hari lepas kita ada penerbangan ke Dubai. Jadi kita sentiasa pantau flight radar secara aktif dan kita berhubung terus dengan syarikat penerbangan jika berlaku gangguan di tempat-tempat krisis," kata beliau sambil menyarankan pelanggan untuk memilih destinasi pelancongan yang di kawasan yang lebih selamat
Sasar RM10 Juta di MATTA Fair 2026

Mengulas mengenai penyertaan dalam pameran pelancongan MATTA Fair 2026 yang bermula semalam, Abdul Halim optimis terhadap sambutan orang ramai. Pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 1,800 pakej dengan nilai keseluruhan mencecah hampir RM10 juta sepanjang tiga hari acara berlangsung.
Antara tawaran menarik di gerai Nuh Travel termasuklah
Diskaun sehingga RM500 untuk pakej terpilih
Kad multi-mata wang RHB Islamic secara percuma
Diskaun Touch 'n Go bagi pelanggan yang membuat tempahan
Kolaborasi Strategik Bersama RHB Islamic

Kerjasama antara Nuh Travel dan RHB Islamic dilihat sebagai usaha menyediakan penyelesaian menyeluruh yang menggabungkan elemen pelancongan dan kemudahan kewangan dalam satu platform.
Pengarah Urusan RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali menjelaskan bahawa kemudahan kad multi-mata wang ini memudahkan pengembara untuk melakukan transaksi tanpa perlu membawa wang tunai yang banyak.
"Kad ini boleh diintegrasikan ke dalam telefon pintar melalui Apple Pay, Samsung Pay, atau Google Pay. Pelanggan tidak perlu lagi bimbang tentang baki pertukaran wang tunai.
"Malah, kad ini menyokong 34 jenis mata wang dan membolehkan pengeluaran tunai di luar negara jika diperlukan," jelas beliau.
Dengan inovasi ini, Nuh Travel tekad untuk terus memberikan nilai tambah kepada pelanggan, memastikan setiap perjalanan bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga mudah dari sudut pengurusan kewangan.



