SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan agar kerajaan negeri terus mengutamakan kesejahteraan rakyat Selangor dalam mendepani cabaran ekonomi susulan krisis di Asia Barat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dizahirkan baginda ketika menerima menghadap beliau bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di Istana Alam Shah, Klang.
Menurut Amirudin, beliau turut membentangkan perkembangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dirangka bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.
“Semoga Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor terus dikurniakan afiyah dan kesihatan yang baik, kebijaksanaan, taufik dan hidayah, serta kekal qarar bersemayam menaungi negeri dengan penuh kedaulatan dan kemuliaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.






