Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan kesemua 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Negeri Sembilan supaya tidak mencampuri urusan berkaitan undang-undang dan institusi diraja, sebaliknya memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.
Institusi diraja perlu dipisahkan daripada urusan pentadbiran
Memetik laporan daripada Bernama, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan, isu berkaitan institusi diraja perlu dipisahkan daripada urusan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“Nasihat saya pada ADUN-ADUN kita (BN) supaya tidak lagi campur tangan dalam soal berkaitan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dan juga institusi-institusi diraja. Kita tumpukan memberikan perkhidmatan kerana wakil-wakil rakyat dipilih oleh rakyat, mandat telah diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Road Safety Congress 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Isnin.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Profesor Dr Wong Shaw Voon.

Keutamaan perlu diberi kepada rakyat
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa kerajaan Negeri Sembilan sedang menyediakan draf Belanjawan Negeri Sembilan 2027 meskipun masih belum mempunyai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ketika ini.
Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada usaha menyantuni rakyat dan menangani permasalahan mereka tanpa mengira isu yang sedang berlaku.
“Yang penting, sebarang permasalahan yang berlaku, keutamaan hendaklah diberikan kepada menyantuni dan menangani permasalahan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara kerajaan negeri dengan 11 ADUN yang tidak bersama kerajaan negeri dapat diteruskan bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan tidak tergantung dan jentera kerajaan dapat berfungsi seperti biasa.
Mengulas mengenai kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Ahmad Zahid berkata, beliau telah meneliti perkara berkenaan dan meminta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan keputusan mengenainya dalam masa terdekat.
Sumber: Bernama






