
KUALA LUMPUR – Semua institusi pendidikan di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan serta di Kuantan, Rompin dan Bentong, Pahang beroperasi seperti biasa esok, namun semua aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka berkata, murid digalakkan memakai pelitup muka, manakala ibu bapa yang bimbang akan kesihatan anak dibenarkan tidak menghantar mereka ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
“Pihak pentadbir sekolah hendaklah sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar serta memberikan perhatian khusus kepada murid yang berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Di Selangor, JPN negeri itu memaklumkan sekolah beroperasi seperti biasa, namun aktiviti luar ditangguhkan dengan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.
JPN Selangor turut menasihati orang ramai supaya merujuk saluran rasmi atau pihak sekolah bagi mendapatkan maklumat sahih dan terkini, selain mengingatkan pentadbir sekolah supaya memantau bacaan IPU serta memberi perhatian kepada murid berisiko tinggi.
Di Negeri Sembilan, JPN memaklumkan semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri itu turut akan beroperasi seperti biasa, esok.
“Murid-murid disarankan memakai pelitup muka, khususnya mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko,” menurut kenyataan itu hari ini.
Sementara itu, di Pahang, JPN memaklumkan sekolah di Kuantan, Rompin dan Bentong beroperasi esok, namun semua aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan.
“Bagi daerah lain sekolah beroperasi seperti biasa. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui Pejabat Pendidikan Daerah masing-masing,” menurut hantaran itu. – Bernama
The post Sekolah di Melaka, Selangor, N. Sembilan beroperasi esok appeared first on Kosmo Online.





