Krisis Institusi Diraja N. Sembilan: Majlis Raja-Raja dimohon campur tangan selesaikan kemelut

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 4:35 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Majlis Raja-Raja diharap dapat meneliti krisis institusi Diraja Negeri Sembilan yang sedang berlaku mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Berpendapat peranan Majlis Raja-Raja sangat diperlukan

Merujuk laporan daripada Sinar Harian, permohonan itu dikemukakan Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan yang berpandangan peranan Majlis Raja-Raja diperlukan untuk menilai serta memberi nasihat berhubung krisis berkenaan.

“Kami berpandangan bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem pemerintahan negara apabila sesuatu isu menyentuh kedudukan, keistimewaan dan kehormatan institusi raja.
“Justeru, kami menyembah mohon limpah perkenan Majlis Raja-Raja agar meneliti proses yang telah berlaku bagi menilai dan memberi nasihat sama ada setiap tindakan yang diambil, khususnya berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak, telah dilaksanakan menurut peruntukan UUTKNS 1959,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Image from: Krisis Institusi Diraja N. Sembilan: Majlis Raja-Raja dimohon campur tangan selesaikan kemelut

Foto: Sinar Harian

Menurut kenyataan itu lagi, rakyat perlu memahami bahawa persembahan mohon nasihat kepada Majlis Raja-Raja wajar dibezakan daripada percubaan mengambil alih fungsi pihak berkuasa negeri di bawah UUTKNS 1959.

Katanya, melalui kaedah berkenaan, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tidak menggantikan fungsi badan berkuasa negeri, sebaliknya berperanan meneliti semula, memberi nasihat serta memastikan proses yang berlaku menepati kehendak undang-undang.

“Peranan ini boleh dilihat sebagai sebahagian daripada tafsiran jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam keadaan yang telah mencapai tahap kritikal seperti sekarang.
“Kami turut menekankan bahawa fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan adalah berbeza daripada peranan pihak berkuasa negeri dalam menjalankan prerogatif dan kuasa mengikut kerangka perlembagaannya sendiri,” katanya.

Pihak berkuasa Persekutuan tak wajar campur tangan

Dalam pada itu, pihak berkenaan menegaskan pihak berkuasa Persekutuan seperti Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara tidak sewajarnya campur tangan dalam urusan kenaikan atau penurunan takhta yang telah diperuntukkan secara khusus di bawah UUTKNS 1959.

Mereka turut berharap penelitian oleh Majlis Raja-Raja dapat dilaksanakan secara adil, saksama dan secepat mungkin bagi memelihara hak raja serta keutuhan UUTKNS seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kami ingin menegaskan bahawa sebarang penilaian terhadap krisis yang melibatkan kedudukan raja pemerintah Negeri Sembilan wajar dilakukan berasaskan penelitian menyeluruh terhadap kronologi sebenar peristiwa, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Krisis ini tidak wajar dinilai semata-mata berdasarkan perkembangan terkini, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu rangkaian peristiwa bermula daripada mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026, diikuti perkembangan pada 17 April 2026, sehinggalah kepada keputusan empat Undang pada 19 April 2026,” katanya.
Image from: Krisis Institusi Diraja N. Sembilan: Majlis Raja-Raja dimohon campur tangan selesaikan kemelut

Foto: Berita Harian

Justeru, mereka berpandangan mana-mana pihak yang mendakwa mempertahankan institusi Raja Negeri Sembilan tidak wajar mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi layanan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang-Undang Luak yang terbabit.

Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan terdiri daripada Emirul Sarifudin Nor Azmi, Asmawi Ismail dan Deidra Nur Azmi.

Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved