Tindakan MB Negeri Sembilan, Bekas Exco Biadab, Tak Bertamadun - PM

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 5:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Tindakan MB Negeri Sembilan, Bekas Exco Biadab, Tak Bertamadun - PM

LKUALA LUMPUR - Tindakan  Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan beberapa bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang didakwa mempersoalkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disifatkan sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan Raja-Raja Melayu, namun pada masa sama bertanggungjawab memastikan keselamatan negara serta keluhuran institusi, selain memastikan segala tindakan berkaitan pentadbiran negeri dibuat mengikut Perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan.

“Yang saya lihat paling tidak munasabah ialah Menteri Besar dan bekas Exco sendiri yang membuat keputusan. Ini tindakan biadab dan tidak bertamadun, dan saya membantahnya dengan tegas.

“Sejak bila mereka mempunyai mandat untuk mempersoalkan kedudukan Raja?” katanya kepada media ketika dalam perjalanan ke Hangzhou dari Shanghai menaiki perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR).

Anwar dipetik RTM sebagai berkata, keadaan itu berbeza sekiranya Undang Luak atau pihak berkaitan mengemukakan pandangan melalui saluran sewajarnya, berdasarkan alasan yang kukuh serta peruntukan undang-undang.

Tegas beliau, sebarang keputusan perlu melalui proses yang betul serta mempunyai asas perundangan yang sah.

“Kedudukan Raja-Raja Melayu tidak boleh dipersoalkan atau diubah melalui keputusan yang dibuat oleh Menteri Besar dan Exco negeri.

“Institusi Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan, bukannya dihapuskan. Jika duluan seperti ini diwujudkan, iaitu Menteri Besar dan Exco boleh membuat keputusan sedemikian sesuka hati, dari mana mereka belajar perkara ini?” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan juga perlu berpegang kepada prinsip bahawa Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif negara tetap tertakluk kepada Perlembagaan dan tidak boleh mencampuri urusan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata Perdana Menteri boleh mengemukakan perkara tertentu untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja, namun kerajaan tidak boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh institusi berkenaan.

“Perdana Menteri tidak mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja,” katanya.

Anwar berkata prinsip sama terpakai dalam isu di Negeri Sembilan, termasuk keperluan menghormati bidang kuasa serta proses yang ditetapkan di bawah Perlembagaan.

“Saya mahu memastikan Perlembagaan dihormati dan tidak ada tindakan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja,” katanya. - Getaran, 23 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved