
HANGZHOU, China – “Ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras”.
Demikian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membantah keras tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.
“Menteri Besar dan Exco yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou, hari ini.
Anwar mengulas krisis pentadbiran dan adat di Negeri Sembilan yang menyaksikan kemelut berkenaan semakin sukar dirungkai.
Hari ini kemelut itu masih belum berkesudahan apabila pertemuan dan sesi suai kenal bersama Tuanku Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar yang dijadualkan bersama Ismail serta barisan Exco di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, di Seremban dibatalkan atas faktor keselamatan.
The post Sejak bila mereka ada mandat pertikai kedudukan raja – PM appeared first on Kosmo Online.






