
SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan pengurusan akses di pejabat Wisma Negeri terhadap bekas barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan susulan pengumuman pembatalan pelantikan yang dibuat pihak Istana Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tindakan itu bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan terus terpelihara.
“Sebarang kawalan akses di lokasi berkaitan dilaksanakan secara terkawal berdasarkan penilaian keselamatan semasa, keperluan pengurusan premis serta bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, kehadiran dan kawalan keselamatan polis di beberapa lokasi termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Balai Undang Luak Sungei Ujong dan Wisma Negeri adalah bagi memelihara keselamatan awam.
“Tindakan pengurusan akses itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai PDRM memihak atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak dalam perkara yang sedang melalui proses Perlembagaan dan perundangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Krisis Istana N. Sembilan: PDRM urus akses Wisma Negeri appeared first on Kosmo Online.





