Krisis Istana Negeri Sembilan: ‘Apa Kuasa Barisan Exco Untuk Singkir Tuanku Muhriz?’

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 7:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kemelut menyelubungi institusi Diraja Negeri Sembilan nampaknya masih berlarutan, walaupun telah berulang kali ditegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuaku Munawir masih pemerintah yang sah.

Terbaru, barisan exco kerajaan negeri bertindak mengeluarkan kenyataan mendakwa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta berkuat kuasa serta merta, selaras Perkara 10 UUTKNS 1959 bertarikh 19hb April 2026 yang telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak. 

Image from: Krisis Istana Negeri Sembilan: ‘Apa Kuasa Barisan Exco Untuk Singkir Tuanku Muhriz?’

Sumber memberitahu Getaran, penemuan terbaru berkaitan krisis berkenaan jelas menampakkan ia berunsurkan politik yang secara langsung mencemarkan integriti dan nama baik institusi diraja Negeri Sembilan. 

Beliau yang arif dengan isu tersebut berkata, barisan Exco tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat keputusan sedemikian. 

Katanya, penasihat undang-undang negeri juga mengesahkan keputusan terbabit sebagai tidak sah dan melanggar peruntukan sedia ada. 

“Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) juga enggan menandatangani notis tersebut, justeru penyingkiran Tuanku Muhriz tidak boleh berkuat kuasa,” katanya ketika dihubungi. 

Lebih mengejutkan jelas sumber, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’far yang dicanang sebagai pengganti  Tuanku Muhriz telah bertindak menghubungi sendiri SUK dan menggesa beliau mengazetkan penyingkiran baginda.

“SUK bagaimanapun telah bertindak tegas dan memberitahu Tunku Nadzaruddin, perkara terbabit tidak boleh dilaksanakan kerana menyalahi peruntukan undang-undang,” katanya.

Image from: Krisis Istana Negeri Sembilan: ‘Apa Kuasa Barisan Exco Untuk Singkir Tuanku Muhriz?’

Sumber terbabit turut mendedahkan, seorang individu dikenali sebagai Raja Rahiman, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat dipengerusikan Tunku Nazaruddin, telah menghubungi SUK menerusi mesej, dan meminta beliau menghadap Tunku Nazaruddin.

Beliau menarik perhatian, pakar dalam isu berkaitan hal ehwal istana turut mempersoalkan, bagaimana barisan Exco boleh tampil membuat kenyataan yang mendahului Pejabat Menteri Besar atau Pejabat SUK.

“Semuanya terkejut. Bagaimana dalam satu kerajaan negeri, barisan exco lebih berkuasa?” katanya. 

Sementara itu, bekas Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong berkata, sebarang pendirian atau pengumuman rasmi kerajaan lazimnya dibuat melalui kenyataan Menteri Besar atau Pejabat SUK, seperti yang menjadi amalan pentadbiran kerajaan negeri sejak sekian lama. 

“Oleh itu, kenyataan bersama barisan EXCO hanya mencerminkan pendirian ahli-ahli EXCO berkenaan dan tidak wajar dianggap sebagai pendirian rasmi Kerajaan Negeri,” katanya. 

Terdahulu, beberapa media memetik kenyataan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang mendakwa, proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni menurut Perkara 10 UUTKNS 1959 bertarikh 19hb April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuatkuasa. 

Justeru jelas majlis itu, adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan ia dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan. 

Kenyataan media tersebut turut dikongsi di media sosial oleh beberapa Exco BN-UMNO, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Faizal Ramli; ADUN Lenggeng, Asna Amin; ADUN Palong, Mustapha Nagoor; serta ADUN Chennah daripada MCA, Siow Kong Choon.

Bagaimanapun, dua wakil Perikatan Nasional (PN) dalam barisan Exco negeri, iaitu Fairuz Isa (Serting) dan Razali Abu Samah (Sikamat), tidak terlibat berkongsi kenyataan berkenaan.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sebelum ini mengesahkan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, memandangkan tiada proses sah pernah menyebabkan baginda terlucut atau berhenti daripada memegang jawatan tersebut.

DKU turut menegaskan bahawa pengumuman dibuat pada 5 September lalu, yang bertujuan menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada jawatan berkenaan, tidak mempunyai sebarang kesan dari segi Perlembagaan mahupun adat.

Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas DKU yang diadakan pada Ahad. - Getaran, 16 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved