Krisis istana Negeri Sembilan: Bekas Exco jawab 60 soalan

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 4:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Krisis istana Negeri Sembilan: Bekas Exco jawab 60 soalan

SEREMBAN – Proses rakaman keterangan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan serta beberapa individu lain berhubung krisis pentadbiran negeri berkenaan telah selesai.

Beberapa Exco dilihat beredar daripada Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) sekitar pukul 2 petang tadi selepas hampir tiga jam memberi keterangan kepada pasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Pasukan polis USTJ Bukit Aman yang difahamkan mengambil keterangan bermula pukul 11 pagi tadi turut dilihat meninggalkan bangunan tersebut pada pukul 2.15 petang.

Bekas Exco Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng yang sebelum memegang portfolio Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd. Asna Amin berkata, kesemua 10 Exco dan beberapa individu lain memberi keterangan secara berasingan.

“Saya sendiri memberi keterangan lebih setengah jam dengan lebih 60 soalan perlu dijawab berkaitan krisis pentadbiran Negeri Sembilan.

“Buat masa ini , kami sekadar mengambil keterangan dan difahamkan ramai lagi akan dipanggil untuk (beri keterangan), semua profesional dan kita juga menjawab soalan secara profesional serta baik,” katanya ketika ditemui di Menara Mains di sini hari ini.

Mohd. Asna turut memaklumkan bahawa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim tidak hadir untuk memberi keterangan kepada pihak polis Bukit Aman.

Sementara itu, Mohd. Asna berkata, kenderaan rasmi kerajaan negeri akan dipulangkan harini selepas beliau dan bekas Exco lain menerima surat arahan pemulangan kereta daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Saya pun tak baca surat itu tadi, tapi kita diminta pulangkan, jadi kita kena pulangkan semua barang-barang (rasmi Kerajaan), kita pulangkanlah kenderaan hari ini,” katanya.

Sementara itu, bekas Exco dari Pas, Fairuz Isa memberitahu, beliau mengambil keterangan oleh pihak polis selama dua jam berkaitan krisis pentadbiran yang berlaku dan semuanya dijawab dengan baik.-KOSMO! ONLINE

The post Krisis istana Negeri Sembilan: Bekas Exco jawab 60 soalan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved