Krisis Istana Negeri Sembilan: Exco Tiada Kuasa Isytihar Jawatan Yamtuan Besar Kosong - AGC

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 11:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis Istana Negeri Sembilan: Exco Tiada Kuasa Isytihar Jawatan Yamtuan Besar Kosong - AGC

KUALA LUMPUR: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (Yamtuan Besar) sebagai kosong.

Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata, Menteri Besar dan anggota Exco tidak boleh secara unilateral menamatkan atau mengosongkan jawatan berkenaan.

Sebaliknya, kesahan serta kesan pengisytiharan yang dibuat pada 19 April lalu perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang seperti  diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Jelas AGC, pengisytiharan berkenaan pada asasnya tidak sah kerana tidak memenuhi keperluan mandatori di bawah Perkara 10.

Menurut AGC, tiada bukti menunjukkan mana-mana keadaan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(1) bagi menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar terpakai terhadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Walaupun Dato’-Dato’ Undang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan bagi menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar, mereka perlu terlebih dahulu mematuhi prosedur serta mempertimbangkan alasan yang ditetapkan di bawah Perkara 10.

“Setakat ini, tiada fakta menunjukkan bahawa prosedur yang ditetapkan telah dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu, AGC turut mempersoalkan sama ada Undang Yang Empat dibentuk dengan sempurna ketika pengisytiharan berkenaan ditandatangani.

Menurutnya, kesahan beberapa orang Undang yang menandatangani pengisytiharan itu dipertikaikan, berikutan mereka dikatakan telah disingkirkan mengikut adat di luak masing-masing.

Keadaan itu, kata AGC, menimbulkan persoalan sama ada komposisi Undang Yang Empat lengkap ketika pengisytiharan tersebut dibuat.

Bagaimanapun, AGC menegaskan pihaknya menghormati kedudukan Dato’-Dato’ Undang serta mengiktiraf bahawa pelantikan dan penyingkiran mereka tertakluk kepada adat di luak masing-masing.

AGC turut merujuk Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang meletakkan persoalan berkaitan adat Melayu, termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan jawatan dan penyingkiran seseorang Undang, di bawah bidang kuasa Dewan Keadilan dan Undangan (DKU).

Di bawah Perkara 16(3), nasihat DKU berhubung perkara berkenaan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah.

Berdasarkan perkara itu, AGC berkata pengumuman yang dibuat oleh Exco negeri tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang.

Menurut AGC, anggota Exco tidak mempunyai bidang kuasa, kuasa atau autoriti di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk membuat pengumuman tersebut dan tidak boleh menjadikan pengisytiharan 19 April sebagai asas undang-undang.

Justeru, sebarang pewartaan atau tindakan lain bagi melaksanakan pengisytiharan berkenaan adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan, katanya.

AGC turut memaklumkan bahawa perkara tersebut kini sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Seremban, dengan injunksi interlokutori masih berkuat kuasa.

“Semua pihak perlu menghormati prosiding yang sedang berjalan dan membiarkan pertikaian berkenaan diselesaikan menerusi proses perlembagaan serta undang-undang yang sewajarnya,” katanya. - Getaran, 17 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved