Krisis Negeri Sembilan: 14 ADUN setuju kekal dalam Kerajaan Perpaduan

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 6:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis Negeri Sembilan: 14 ADUN setuju kekal dalam Kerajaan Perpaduan
Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis Powering Trusted Access Across Malaysia Digital Ecosystem yang diadakan pada Khamis. Foto SinarHarian-ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kesemua ADUN Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersetuju untuk terus kekal dalam kerangka Kerajaan Perpaduan di negeri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam pertemuannya bersama 14 ADUN berkenaan pada Khamis.

Menurutnya, pertemuan tersebut memberi ruang kepada semua pihak menjelaskan konteks sebenar di sebalik tindakan menarik sokongan yang sebelum ini mencetuskan pelbagai tafsiran politik.

"Menarik sokongan itu berjalan, tetapi kita tetap bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan tindakan 14 ADUN itu harus ditafsirkan semula supaya tidak memberi pentafsiran yang salah mengenai perkara tersebut.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan kesemua 14 ADUN daripada Negeri Sembilan untuk melihat semula bahawa (mereka) tidak berhajat untuk ‘retract’, tetapi mahu membetulkan persepsi yang ada bahawa usaha yang dilakukan oleh mereka bukan berhasrat untuk menebuk atap atau membentuk kerajaan negeri melalui pintu belakang tetapi adalah untuk menentukan institusi yang saya sebutkan itu berjalan dengan baik," jelas Ahmad Zahid.

Tambah beliau lagi, negara ketika ini sedang menghadapi permasalahan ekonomi global, justeru semua harus bersatu hati untuk bersama-sama, bukan hanya menangani masalah, tetapi untuk terus mendukung apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

”Apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri adalah bagi mewujudkan kestabilan politik demi untuk kita bersama-sama menghadapi apa yang disebut sebagai krisis global ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengumumkan 14 ADUN UMNO-BN sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

View Original Article