PUTRAJAYA - Kedudukan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan akan dibawa ke meja rundingan Pakatan Harapan dan BN (PH-BN) bagi mencapai penyelesaian.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan pakatan itu mempunyai perjanjian melibatkan 18 perkara yang antara lain jika terdapat sebarang permasalahan, ia diselesaikan secara bersama.
"Pada hemat saya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk kita sama-sama melihat jika ada perkara-perkara secara perinciannya boleh kita selesaikan cara bersama.
"Ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya kerana kita tahu negara sedang menghadapi permasalahan ekonomi global dan kita harus bersatu hati untuk bersama-sama bukan hanya menangani tetapi mendukung hasrat perdana menteri bagi mewujudkan kestabilan politik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID di sini pada Khamis.
Ditanya adakah itu bermaksud perlu ada Menteri Besar yang baharu, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Itu adalah perkara lain lagi (ketawa)," jelas beliau ketika menjawab pertanyaan pemberita sama ada perlu melantik Menteri Besar baharu atau kekal menyokong Aminuddin sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pada 28 April lalu, Anwar menjelaskan bahawa Aminuddin akan menjalankan tugas seperti biasa sebagai Menteri Besar seperti dititahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.






