Enam syarikat termasuk Karangkraf raih pengiktirafan FBSEC 2026

LocalBusiness & Finance
23 Apr 2026 • 6:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Enam syarikat termasuk Karangkraf raih pengiktirafan FBSEC 2026
Nancy Shukri (tengah) menyampaikan trofi kepada Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (kiri). Karangkraf menerima Anugerah Family Business Excellence Award (Category Mid-Tier & Large Enterprise). FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB
Image from: Enam syarikat termasuk Karangkraf raih pengiktirafan FBSEC 2026
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada majlis Persidangan Ke-3 Kelestarian Perniagaan Keluarga & Keusahawanan (FBSEC) 2026 yang diadakan pada Khamis. FOTO SINAR HARIAN - ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Persidangan Ke-3 Kelestarian Perniagaan Keluarga & Keusahawanan (FBSEC) 2026 menyaksikan Karangkraf muncul sebagai antara penerima anugerah apabila merangkul Anugerah Family Business Excellence Award (Category Mid-Tier & Large Enterprise).

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri kepada Karangkraf yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, yang juga anak kepada Pengasas Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Farah berkata, anugerah tersebut melambangkan pengiktirafan terhadap legasi Karangkraf sebagai perniagaan keluarga yang berjaya mengekalkan nilai teras sambil berani berubah mengikut zaman.

Beliau berkata, ia menghargai perjalanan hampir lima dekad Karangkraf, daripada sebuah perusahaan penerbitan ilmu kepada kumpulan media pelbagai platform yang kekal relevan dan berprinsip.

"Ketika kami melalui penjenamaan semula dan hala tuju korporat baharu, fokus kami adalah kejelasan misi dan keberanian transformasi tanpa mengorbankan identiti.

"Anugerah ini mengesahkan bahawa pendekatan tersebut adalah tepat dan berdaya tahan merentasi generasi," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, faktor utama kejayaan Karangkraf sebagai perniagaan keluarga adalah berpaksikan nilai yang konsisten, tadbir urus profesional dan kesinambungan visi antara generasi.

Menurutnya, walaupun berteraskan perniagaan keluarga, pengurusan dijalankan secara profesional dengan pemisahan jelas antara pemilikan dan operasi.

"Selain itu, kekuatan utama kami ialah keupayaan untuk menyesuaikan diri, daripada media cetak ke digital serta keberanian untuk mendengar perubahan masyarakat.

"Legasi tidak diwarisi secara automatik, tetapi dipikul sebagai amanah untuk terus diperkasakan.

"Perancangan ke hadapan, Karangkraf akan memberi fokus kepada transformasi digital berterusan, pembangunan kandungan berimpak dan kelestarian jangka panjang," katanya.

Farah berkata, pihaknya mahu terus membina ekosistem media berbilang platform yang berlandaskan kredibiliti, kepercayaan dan pemikiran kritikal.

"Pada masa sama, kami melabur dalam pembangunan bakat dan kepimpinan generasi baharu bagi memastikan Karangkraf bukan sahaja bertahan, tetapi terus relevan dan bermakna kepada masyarakat.

"Anugerah ini bukan titik akhir, tetapi pemangkin untuk tanggungjawab yang lebih besar," katanya.

Persidangan bertemakan “From Legacy to Longevity: Sustaining Family Businesses Across Generations” itu menghimpunkan lebih 200 pembuat dasar, pemimpin industri serta peserta serantau.

Selain Karangkraf, lima lagi penerima ialah Visionary Founder Excellence Award yang dianugerahkan kepada Padzilah Enda Sulaiman (Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd); Aspiring Next Generation Leadership Award, Siti Khawa Jannah Nasuha (Mak Siti Products (M) Sdn Bhd); Outstanding Family Business Award (Category SME), Structural Repairs (M) Sdn Bhd dan IANA Corporations Sdn Bhd, manakala Marrybrown menerima Family Business Excellence Award (Category Mid-Tier & Large Enterprise).

**media[3500314]**

Sementara itu, Pengerusi Penganjur FBSEC 2026, Saliza Abdullah berkata, perniagaan keluarga merangkumi sebahagian besar sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia serta memainkan peranan penting dalam ketahanan ekonomi negara.

Katanya, pencapaian penting dalam persidangan itu ialah pelancaran Anugerah Kelestarian Perniagaan Keluarga julung kali diadakan, bagi mengiktiraf pemimpin perniagaan keluarga serta generasi pelapis yang menunjukkan kecemerlangan dalam kepimpinan, inovasi dan kelestarian jangka panjang.

Beliau berkata, FBSEC merupakan persidangan tahunan yang memperjuangkan kelestarian perniagaan keluarga serta pemerkasaan wanita dan akan kembali dianjurkan pada April 2027.