TANPA ribut, Isnin lalu 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan sebulat suara mengumumkan menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Meskipun sebelum ini, kedua-dua belah pihak iaitu BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri beradat itu kerap tidak sependapat, namun tidak ramai yang menyangka sehingga berlaku konflik seperti hari ini.
Disebalik tindakan berani BN Negeri sembilan membuat pengumuman secara terbuka melalui sidang akhbar mengenai keputusan mereka, namun kini timbul persoalan mengenai nasib yang bakal dihadapi Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mengetuai ADUN berkenaan.
Tidak dinafikan keberanian UMNO dan Jalaluddin itu mendapat sokongan bukan sahaja daripada UMNO tetapi turut 'dipuji' Perikatan Nasional (PN) tetapi dalam masa turut dikecam hebat pemimpin kerajaan dengan menganggap beliau ingin menjadi Menteri Besar.
Mungkin UMNO-BN Negeri Sembilan berpihak kepada Jalaluddin, namun kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pimpinan pusat seakaan membawa nada berbeza, namun itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana diikat dengan kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Malah, Pakatan Harapan (PH) melalui kenyataan media lewat petang Selasa menegaskan, pihaknya akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Aminuddin demi kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat di negeri itu.
Pengarah Komunikasinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pakatan berkenaan juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu.
Menurutnya, PH juga menzahirkan rasa kesal dengan tindakan yang dibuat 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan tersebut kerana jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan sama turut ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Aminuddin akan terus menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar negeri itu seperti biasa.
Anwar berkata, perkara tersebut dititahkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika beliau menghadap baginda pada Isnin.
Manakala, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kemelut pentadbiran Negeri Sembilan yang sedang sedang hangat ketika ini adalah berkaitan politik.
Justeru, beliau berkata, masalah tersebut harus diselesaikan secara politik.
Beliau berkata, parti tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri dan undang-undang adat Negeri Sembilan.
Tumpuan kini pastinya terarah kepada Jalaluddin mengenai laluan mana akan dipilih beliau selepas ini sekiranya pimpinan di peringkat pusat kekal dengan pendirian untuk mempertahankan Aminuddin.
Tidak kira apa pun keputusan politik yang dibuat kedua-dua belah parti, pastinya semua pihak khususnya rakyat Negeri Sembilan mahukan kemelut ini segera berakhir.






