Persatuan Rangkaian Peniaga Malaysia kecam tindakan 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 6:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Persatuan Rangkaian Peniaga Malaysia kecam tindakan 14 ADUN UMNO-BN Negeri Sembilan
Balamurugan dan laporan Sinar Harian mengenai 14 ADUN BN Negeri Sembilan umumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

SHAH ALAM - Persatuan Rangkaian Peniaga Malaysia mengecam tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di saat dunia termasuk Malaysia sedang berhadapan tekanan ekonomi akibat konflik global.

Presidennya, Balamurugan Sinnathamby berkata, perbuatan itu tindakan politik tidak bertanggungjawab dan mengancam kestabilan serta kemajuan ekonomi negeri ketika rakyat amat memerlukan kepimpinan yang bersatu dan berhemah.

Beliau berkata, ketika dunia sedang berhadapan tekanan ekonomi termasuk kenaikan harga bahan api, inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, pemimpin politik sepatutnya bekerjasama memperkukuhkan keyakinan rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi negeri terus terpelihara.

"Malangnya, terdapat pihak yang memilih untuk mewujudkan ketidaktentuan politik demi kepentingan tertentu.

"Rakyat dan komuniti perniagaan Negeri Sembilan akan terus berdiri teguh mempertahankan kestabilan, tadbir urus yang bertanggungjawab dan kesinambungan pembangunan.

"Sebarang tindakan yang mengancam pencapaian ini akan dinilai oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada Isnin mengumumkan 14 ADUN UMNO -BN sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Jelasnya, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Mengulas lanjut, Balamurugan berkata, rakyat negeri berkenaan tidak seharusnya menjadi mangsa kepada percaturan politik yang didorong oleh kepentingan peribadi atau kepentingan parti.

Ujarnya, sebarang cubaan menggunakan isu sensitif untuk menukar kerajaan melalui jalan belakang hanya akan merosakkan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi serta mewujudkan ketidakstabilan yang tidak perlu.

"Perkara ini amat membimbangkan kerana pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan ketika ini telah menunjukkan peningkatan yang jelas dan ketara dari segi pengurusan kewangan serta prestasi ekonomi sejak tahun 2018. Ketika pentadbiran berubah pada tahun 2018, rizab kewangan Negeri Sembilan berada pada sekitar RM687.77 juta.

"Melalui disiplin fiskal yang lebih baik dan tadbir urus yang berhemah, jumlah rizab ini meningkat kepada lebih RM1.4 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan melebihi RM700 juta dalam tempoh kurang daripada lapan tahun," katanya.

Beliau menambah, Negeri Sembilan juga juga berjaya mencatatkan lebihan bajet sebanyak RM147.47 juta pada tahun 2019, antara prestasi fiskal terbaik dalam sejarah negeri.

Lebih penting lagi katanya, negeri berkenaan mencatatkan RM19.1 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun 2025, iaitu nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri, dengan peningkatan 164 peratus berbanding tahun 2024.