Undang Yang Empat adakan pertemuan di Balai Sungei Ujong

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 7:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Undang Yang Empat adakan pertemuan di Balai Sungei Ujong
Kenderaan Undang Luak Johol dilihat keluar dari Balai Undang Sungei Ujong.
Image from: Undang Yang Empat adakan pertemuan di Balai Sungei Ujong
Kenderaan Tunku Besar Tampin dilihat keluar Dari Balai Undang Sungei Ujong.

SEREMBAN - "Bincang anak-beranak je".

Demikian respon ringkas Undang Luak Johol, Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah kepada pemberita sebaik dilihat keluar dari Balai Luak Sungei Ujong di Ampangan di sini.

Difahamkan, beliau bersama tiga lagi Undang iaitu Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu) dan Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau) dipercayai mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemelut adat dan perlembagaan yang berlaku ketika ini.

Turut hadir Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin) dan Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Baharudin Abdul Khalid.

**media[3506204]**

Mereka semua dilihat tiba sekitar jam 3.30 petang, manakala kenderaan pertama yang dilihat meninggalkan lokasi ialah milik Undang Jelebu pada jam 6 petang.

Kemudian diikuti kenderaan Datuk Syahbandar, disusuli Tunku Besar Tampin dan kenderaan Undang Luak Johol.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan Mubarak menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak boleh diterima atau diiktiraf.

Ini kerana jelas baliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 UUTKNS.

Episod berkaitan institusi Beraja di Negeri Sembilan ini mula timbul apabila Waris Luak Sungei Ujong mengeluarkan kenyataan bertarikh 18 Mac memaklumkan Mubarak dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim selepas mendapat keizinan dan persetujuan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak.

Bagaimanapun dalam kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Datuk-Datuk Lembaga Adat Sungei Ujong pada 18 April pula menjelaskan pendirian mereka yang sebulat suara ikrar taat setia kepada Mubarak.

Jelasnya, kenyataan dikeluarkan oleh Zainol Ariffin pada 18 Mac itu juga adalah tidak sah dari sudut adat kerana beliau telah pun dipecat pada 28 November 2024.

Dalam kenyataan berkenaan turut dijelaskan bahawa pemilihan Datuk Undang atau pemberhentian Datuk Undang perlu mengikut adat luaknya saja yang mana ia selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, Fasal 14 (1 dan 3).

Justeru, pihak luar yang tiada sebarang kepentingan diminta untuk tidak mencampuri urusan adat di Sungei Ujong.