SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak yang dilaporkan dipecat daripada jawatan tersebut sebelum ini difahamkan tidak menerima surat jemputan bagi menghadiri majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri(DUN) Negeri Sembilan yang diadakan pada Khamis.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Sulit Undang Luak Sungei Ujong, Ahmad Hanafi Ruzlan berkata, kebiasaannya surat jemputan rasmi terbabit akan diterima seminggu sebelum majlis, tetapi kali ini tiada.
"Undang Luak Sungei Ujong tidak dapat surat jemputan bagi menghadiri istiadat pembukaan DUN esok dan setakat yang saya tahu, Undang Luak Jelebu terima surat jemputan, tapi Undang lain saya tidak pasti.
"Kebiasaannya seminggu sebelum majlis surat itu akan dihantar secara serahan tangan oleh kakitangan dari Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan kepada pejabat kami, tapi kali ini tiada," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Selain itu, beliau memaklumkan telah menghantar surat pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ditandatangani oleh Undang Yang Empat kepada DKU pada petang Selasa.
Pada masa sama katanya, surat tersebut turut diserahkan kepada pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha DKU.
Sementara itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada Setiausaha DKU Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin tidak berhasil kerana beliau gagal dihubungi.
Sebelum ini media melaporkan, Undang Yang Empat mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, berkuat kuasa serta-merta.
Pengisytiharan berkenaan dibuat dalam satu sidang media khas di Balai Undang Luak Sungei Ujong di sini kira-kira jam 6.15 petang pada 19 April lepas.
Empat Undang terbabit ialah Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungai Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol) dan Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau).
Pengisytiharan terbabit turut disaksikan oleh Datuk Syahbandar Sungei Ujong, Datuk Baharudin Abdul Khalid
Turut dinamakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan baharu.
Bagaimanapun, Aminuddin dalam kenyataannya pada 20 April menjelaskan bahawa tindakan Mubarak yang menandatangani serta membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diterima atau diiktiraf.
Ini kerana katanya, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong, selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Udang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959.
"Pemberhentian Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong telah dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Sungei Ujong sejak 13 Mei 2025.
"Sidang Khas DKU pada 17 April lepas telah bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 selaras peruntukan Fasal 14(3) UUTKS," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim ditemui media di Wisma Negeri memaklumkan perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan DUN akan berjalan seperti biasa.
Beliau berkata, Tuanku Muhriz akan hadir pada perasmian tersebut seperti mana yang dijadualkan.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara lain.
Selain itu dalam kenyataan media terbaharu pada 21 April, Buapak dan Ibu Soko Delapan Kampung Luak Rembau menyatakan pendirian tegas bahawa sebarang kenyataan atau tindakan yang cuba memecat atau mencabar kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah tidak sah, bercanggah dengan adat dan tidak mempunyai sebarang asas di sisi undang-undang.
Mereka turut menyeru semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta terus menghormati institusi Raja sebagai tonggak kedaulatan negeri.






![[Konflik YDP N9] : Isytihar Turunkan Tuanku Muhriz Tidak Sah, Menteri Besar Tegaskan Mubarak Tiada Kuasa](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://cdn.beautifulnara.net/wp-content/uploads/2026/04/20134400/TB_TUANKU-MUHRIZ-TUANKU-MUNAWIR_BERNAMA.webp)