Krisis politik Melaka: DAP sudah serah surat, tiada lagi ruang rundingan -Ab Rauf

LocalPolitics
15 Jul 2026 • 6:20 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan tiada lagi ruang untuk rundingan selepas DAP Melaka secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan daripada pentadbiran kerajaan negeri yang berkuat kuasa serta-merta.

Sudah terima surat semalam

Memetik laporan daripada Astro Awani, kerajaan negeri menerima surat berkenaan sejurus selesai sidang media yang diadakan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH), sekali gus menyebabkan perubahan kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita terima (surat peletakan jawatan) semalam. Habis sidang media mereka terus hantar surat. Sebab itu hari ini kalau kita lihat perubahan kedudukan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebab kita (telah) menerima surat rasmi peletakan jawatan dan pengunduran daripada kerajaan pada kadar segera.
“Itu sebab bila Perdana Menteri minta berunding, saya kata dah tak boleh berunding sebab mereka dah serah semua surat,” katanya pada sidang media selepas hari terakhir Persidangan Kedua Penggal Kelima DUN Melaka Ke-15 di Seri Negeri.

Image from: Krisis politik Melaka: DAP sudah serah surat, tiada lagi ruang rundingan -Ab Rauf

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta supaya rundingan diadakan susulan tindakan DAP menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Kerjasama akan kembali dibincangkan

Mengulas kenyataan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari bahawa PH akan bermesyuarat bagi menentukan hala tuju kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan menunggu keputusan yang bakal dibuat.

“Itu kita tunggu dan lihat. Saya tidak berani hendak cakap sama ada esok ya ataupun tidak, apa yang mereka hendak buat.
“Tetapi kesan daripada keputusan DAP yang mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan kerajaan ini, kita dah terima. Macam mana pula dia nak berundur? Tapi terserahlah kepada PH,” tambahnya.

Image from: Krisis politik Melaka: DAP sudah serah surat, tiada lagi ruang rundingan -Ab Rauf

PKR Melaka tak setuju keputusan DAP

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf memaklumkan kerajaan negeri turut menerima surat daripada PKR Melaka yang menyatakan parti itu tidak bersetuju dengan keputusan DAP untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau turut memberi jaminan hubungan antara Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan akan terus dipelihara walaupun berlaku perubahan politik, selain menegaskan segala bentuk kerjasama berkaitan pembangunan ekonomi, kebajikan dan kepentingan rakyat akan diteruskan.

“Pintu kerjasama dalam isu pembangunan ekonomi, kebajikan dan kepentingan rakyat akan sentiasa terbuka kepada semua pihak,” katanya.

Ab Rauf turut menegaskan pentadbiran kerajaan negeri akan berjalan seperti biasa dengan sebarang penyusunan semula dilakukan secara berhemah demi memastikan kestabilan politik serta kepentingan rakyat terus terpelihara.

Semalam, PH Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan ADUN lantikan.

Keputusan itu menyaksikan empat ADUN DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri termasuk Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker dan lantikan berkaitan.

Sumber: Astro Awani (Shuhada Abdul Kadir)
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved