Krisis politik Negeri Sembilan: DAP setuju cadangan Tok Mat bubar DUN

LocalPolitics
24 May 2026 • 6:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis politik Negeri Sembilan: DAP setuju cadangan Tok Mat bubar DUN
Anthony (dua dari kanan) ketika menghadiri program minum petang meraikan 406 pelajar cemerlang SPM Parlimen Seremban pada Ahad.

SEREMBAN - DAP bersetuju bahawa langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik di Negeri Sembilan ialah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, berkata langkah berkenaan dilihat dapat meredakan keadaan yang sedang berlaku, selain memastikan kerajaan negeri ditadbir dengan mandat yang lebih jelas.

“Sekurang-kurangnya ada satu mandat yang lebih jelas kerana sukar untuk ada lagi kepercayaan dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kerana mereka, iaitu ADUN UMNO-BN, telah pun menarik sokongan.

“Sekarang ini, sudah tentu apabila pilihan raya diadakan, kita akan bertanding antara satu sama lain. Jadi, rakyat yang kena buat keputusan, hendak siapa membentuk kerajaan negeri,” katanya selepas program minum petang meraikan 406 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Parlimen Seremban di sini pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang berpandangan membubarkan DUN Negeri Sembilan adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku, sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang terbaik untuk mentadbir negeri.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, walaupun UMNO-BN masih menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, namun perkara itu boleh mengundang risiko, termasuk kemungkinan kerajaan negeri digulingkan ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambahnya, perkara tersebut perlu dielakkan kerana boleh menimbulkan pelbagai persepsi.

“Kita hanya ada sehingga bulan Oktober untuk mengadakan sidang DUN dan dalam DUN, apa-apa pun boleh berlaku.

“Walaupun mereka kata masih memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan di negeri ini, tetapi kita tidak mahu mengambil risiko kalau nanti digulingkan dalam DUN ataupun bajet ditolak dan sebagainya,” katanya.

Justeru, kata Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu, beliau telah melontarkan cadangan pembubaran terbabit kepada Perdana Menteri ketika Konvensyen PH di Johor Bahru minggu lalu, namun perkara itu terpulang kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, untuk menentukannya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PH negeri terbabit telah bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor yang berkemungkinan membubarkan DUN tidak lama lagi.

“Seperti yang saya katakan dalam Konvensyen PH di Johor Bahru minggu lepas, memang Negeri Sembilan juga bersiap sedia mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor.

“Kalau Johor dibubarkan dalam waktu terdekat, mungkin Negeri Sembilan juga akan dibubarkan. Tetapi itu terpulang kepada Menteri Besar. Saya hanya memberi cadangan dan Menteri Besar perlu membuat keputusan selepas merujuk kepimpinan tertinggi PH,” katanya.

Tambahnya, sekiranya Negeri Sembilan mengadakan Pilihan Raya Negeri serentak dengan Johor dan Melaka, langkah itu sudah tentu boleh menjimatkan kos.

Mengulas sekiranya PH membuat keputusan untuk bertanding solo di Negeri Sembilan, beliau berkata, gabungan tersebut sudah mempunyai pengalaman mentadbir negeri itu secara bersendirian.

“Dari tahun 2018 sehingga 2023, walaupun pada tahun 2020 ada ‘Langkah Sheraton’ di peringkat pusat, Negeri Sembilan mampu bertahan.

“Walaupun PH hanya mempunyai 20 kerusi, tetapi kita tidak jatuh ketika itu dan itu maksudnya kita ada kekuatan,” katanya.

Kata Anthony lagi, situasi politik di setiap negeri adalah berbeza dan tidak menghairankan apabila UMNO-BN Johor menyatakan pendirian untuk bertanding di kesemua 56 kerusi DUN, sedangkan parti itu bekerjasama dengan PH dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

“Di Negeri Sembilan, sokongan terhadap Menteri Besar ditarik balik. Jadi, saya rasa Negeri Sembilan ini kalau berlaku pilihan raya, kita perlu bertanding antara satu sama lain,” katanya.