
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Perdana Putra, dipercayai untuk berbincang mengenai kemelut politik di Negeri Sembilan.
Getaran difahamkan, mesyuarat itu berlangsung sejurus selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Anwar.
Berdasarkan gambar dikongsi Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dengan kapsyen 'sedang dijalankan', ‘pertemuan’ berkenaan turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke, yang juga Setiausaha Agung DAP, dan Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Terdahulu, Anwar berkata beliau dijangka bertemu Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno, hari ini untuk membincangkan perkembangan di Negeri Sembilan.
Perkara terbabit disahkan Ahmad Zahid, tetapi beliau enggan mendedahkan lokasi dan masa mesyuarat itu.
Semalam, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mengumumkan menarik semula sokongan ke atas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara membabitkan kesemua 14 ADUN Umno/BN di Negeri Sembilan berikutan kemelut adat yang berlaku ketika ini.
Bagaimanapun, Aminuddin dalam sidang medianya memberitahu, beliau akan terus mentadbir negeri itu sebagai kerajaan minoriti.
Katanya, perkembangan terkini mengenai kedudukan semasa ADUN yang menyokongnya telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – Getaran, 28 April 2026



