PH kekal sokong kepimpinan Amiruddin, tolak pengkhianatan UMNO-BN Negeri Sembilan - Fahmi

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 7:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PH kekal sokong kepimpinan Amiruddin, tolak pengkhianatan UMNO-BN Negeri Sembilan - Fahmi
Fahmi Fadzil

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun demi kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat di negeri itu.

Pengarah Komunikasinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pakatan berkenaan juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, PH juga menzahirkan rasa kesal dengan tindakan yang dibuat 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan tersebut kerana jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.

“Pakatan Harapan menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan untuk cuba menebuk atap dan mengambil alih pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan, apatah lagi alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar.

“Tindakan UMNO Barisan Nasional Negeri Sembilan ini telah dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada Isnin mengumumkan 14 ADUN UMNO-BN sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin.

Jelasnya, keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Perkembangan terbaharu itu turut mencetuskan konflik politik memandangkan Negeri Sembilan dibentuk melalui kerjasama Kerajaan Perpaduan.