
KUALA LUMPUR - Semua pihak perlu menghormati titah diraja yang menegaskan kestabilan kerajaan Negeri Sembilan, walaupun ketegangan politik semakin memuncak selepas UMNO mengambil pendirian menjauhkan diri daripada gabungan pemerintah negeri itu.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedudukan pentadbiran negeri kekal tidak berubah berdasarkan titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, walaupun timbul dakwaan sokongan terhadap Menteri Besar semakin terhakis.
“Apa yang dinyatakan oleh pemimpin UMNO tidak begitu jelas, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut.
“Saya hanya ingin menegaskan bahawa jika perkara ini melibatkan Institusi Diraja, saya akan merujuk secara langsung kepada titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu keadaan kerajaan negeri kekal stabil, Menteri Besar kekal, dan kita akan melihat perkembangan seterusnya,” katanya.
Tegas Perdana Menteri, sebarang cabaran terhadap kepimpinan perlu dibuat mengikut proses perlembagaan yang sah.
“Jika benar Menteri Besar sedia ada telah kehilangan kepercayaan majoriti, perkara itu perlu ditentukan mengikut proses.
“Namun setakat ini, jika ada pihak mendakwa menjunjung Institusi Diraja, maka mereka perlu benar-benar menghormatinya,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan, beliau dan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat cenderung untuk kekal sebagai pembangkang, berbanding bekerjasama dengan Pakatan Harapan; satu pendirian yang berpotensi memanjangkan kemelut politik negeri terbabit.
Perkembangan itu turut menyusuli keputusan terdahulu Biro Politik UMNO yang menyatakan sokongan berterusan terhadap kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, sekali gus memperlihatkan perbezaan pendirian antara kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri.
Kemelut ini tertumpu kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang dicabar selepas 14 ADUN UMNO menarik semula sokongan terhadap beliau.
Kesemua ADUN berkenaan dilaporkan tidak berpuas hati dengan pengendalian satu isu diraja yang sensitif, melibatkan cubaan seorang Undang untuk melucutkan kedudukan pemerintah, sekali gus memburukkan lagi krisis politik sedia ada.
Walaupun berdepan situasi tersebut, Anwar menegaskan pentadbiran kerajaan negeri masih sah di bawah perkenan pemerintah, sambil menggesa semua pihak mengutamakan penghormatan terhadap institusi serta mematuhi prinsip perlembagaan sepanjang perkembangan krisis ini. - Getaran, 4 Mei 2026






