Krisis tenaga global: Harga baja naik, petani Sabah terkesan

LocalBusiness & Finance
5 Apr 2026 • 12:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jamawi (dua dari kanan) ketika melayan tetamu pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, Tenom.

TENOM - Kenaikan harga baja ketika ini memberi kesan kepada golongan petani di Sabah susulan faktor global termasuk gangguan bekalan dan sekatan eksport oleh negara pengeluar utama.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar berkata, kebanyakan baja di pasaran berasaskan petroleum selain berdepan isu pemberhentian eksport dari China yang turut menjejaskan bekalan tempatan.

"Kebanyakan baja dihasilkan daripada petroleum dan kita juga berdepan isu pemberhentian eksport dari China, yang sedikit sebanyak menjejaskan bekalan tempatan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran beliau bersama isteri di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, dengan mengambil kira situasi semasa itu, Jamawi berkata, pihaknya akan terus berunding dengan pihak berkaitan bagi memastikan bekalan baja mencukupi dan dapat diagihkan secara teratur kepada petani.

"Masyarakat petani diharap sentiasa berhubung dengan pegawai pertanian, veterinar dan perikanan di kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan serta khidmat nasihat.

"Kita mempunyai pegawai di lapangan yang sentiasa bersedia membantu menyelesaikan isu yang dihadapi petani dan pengusaha,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan petani beralih kepada penggunaan baja kompos sebagai alternatif yang lebih mampan dan dapat membantu mengurangkan kos pengeluaran.

"Penggunaan baja kompos bukan sahaja dapat mengurangkan kos, malah membantu meningkatkan kesuburan tanah secara semula jadi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap sektor pertanian dan perikanan, beliau turut mengingatkan pengusaha agar lebih berwaspada terutama dalam musim panas ketika ini bagi mengelakkan risiko kebakaran akibat pembakaran terbuka.

"Kita nasihatkan supaya elakkan pembakaran terbuka kerana ia boleh mengundang risiko kebakaran serta menjejaskan alam sekitar," katanya.

Sementara itu, kira-kira 8,000 penduduk dari Tenom, Kemabong dan Melalap memeriahkan majlis rumah terbuka itu yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.