SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang mempergiat langkah proaktif bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat-ubatan dan peranti perubatan di negara ini terus terjamin susulan impak krisis tenaga global.
Krisis berkenaan telah memberi kesan ketara kepada rantaian bekalan dunia, sekali gus menyebabkan ketidakstabilan akses serta gangguan penghantaran beberapa peranti perubatan kritikal, terutamanya bagi produk import kategori berisiko tinggi.
KKM dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, situasi tersebut turut menjejaskan keupayaan pembekal untuk memenuhi obligasi kontrak yang berpotensi menggugat kelangsungan perkhidmatan kesihatan awam jika tidak ditangani segera.
"Selaras dengan keutamaan kerajaan, KKM giat memastikan keterjaminan bekalan melalui pengukuhan stok penimbal bagi ubat dan peranti kritikal serta mempelbagaikan sumber bekalan.
"Pemantauan bahan mentah dan rantaian bekalan juga dilakukan secara berterusan bersama pihak industri bagi membolehkan risiko gangguan dikenal pasti lebih awal untuk ditangani secara bersasar," jelasnya.
Menurut kenyataan itu lagi, pengurusan bekalan kini dilaksanakan secara berhemah melalui pengagihan berasaskan keperluan klinikal dan penggunaan yang rasional.
Langkah itu turut disokong dengan penyediaan pelan rawatan klinikal alternatif serta pemudahcara proses regulatori bagi memastikan akses ubat-ubatan tidak terputus.
"KKM turut melaksanakan Laluan Akses Khas (Special Access Pathway), pengaktifan pelan gerak balas kecemasan, penetapan item kawalan serta perluasan penggunaan e-Labelling bagi peranti perubatan," jelas kenyataan itu.
Bagi strategi jangka sederhana dan panjang, KKM memberikan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan bekalan menerusi peralihan penggunaan bahan resin kepada polimer serta pelaksanaan Unique Device Identification (UDI).
Selain itu, KKM juga menyasarkan pembangunan industri tempatan bagi peranti perubatan dan pembangunan dasar keterjaminan bekalan ubat melalui inisiatif MyMedSecure.
"Ini termasuklah pengukuhan pengeluaran tempatan, pendigitalan rantaian bekalan dan pewujudan stok penimbal strategik nasional bagi mendepani cabaran masa hadapan," menurut kementerian itu.

