
KELANTAN Red Warrior FC (KRW FC) tidak boleh terus hanyut apabila melayan Star City FC dalam misi memburu kemenangan pertama Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Kapten KRW FC, Arham Khussyairi menyeru rakan sepasukan mengelak kesilapan mudah dan kekal fokus selama 90 minit selepas mengalami lima kekalahan berturut-turut sebelum ini.
Kata Arham, pasukan perlu memperkemaskan disiplin permainan selain mengelak daripada dibolosi pasukan lawan sekiranya berhasrat untuk meraih keputusan positif nanti.
“Persiapan pasukan berjalan seperti biasa dengan beberapa perlawanan pemanas badan sebagai persediaan menentang Star City. Kami perlu lebih fokus dalam setiap perlawanan dan mengekalkan tumpuan hingga wisel penamat.
“Kita sudah lihat dalam beberapa aksi lepas, kami banyak melakukan kesilapan mudah. Kali ini, kami perlu mengelak daripada melakukanperkara sama kerana ia boleh mengganggu momentum dan memaksa kami bekerja lebih keras untuk mengawal permainan,” katanya.
KRW FC yang menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang mata selepas tewas dalam lima perlawanan kini berdepan tekanan untuk segera bangkit, apatah lagi Star City turut memburu kemenangan pertama musim ini.
Arham mengakui lawan memiliki kelebihan dari segi jumlah pemain import dan kekuatan fizikal, namun percaya persiapan taktikal mampu membantu KRW memberi tentangan sengit.
“Star City mempunyai lebih ramai pemain import berbanding kami, selain kelebihan fizikal. Bagaimanapun, dengan taktikal yang sudah dirancang dan dikaji, Insya-Allah kami mampu berikan saingan kepada mereka,” katanya.
The post KRW FC buru kemenangan sulung dalam Liga Super appeared first on Kosmo Online.

