KTMB nafi lantik pihak ketiga urus pengambilan pekerja

20 Oct 2026 • 12:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KTMB nafi lantik pihak ketiga urus pengambilan pekerja

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan melantik mana-mana pihak ketiga untuk mengendalikan urusan pengambilan pekerja, susulan kewujudan akaun TikTok “kerjaya.ktmb” yang menyalahgunakan nama dan logo syarikat itu bagi menawarkan pekerjaan palsu.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan akaun berkenaan juga cuba mendapatkan maklumat peribadi pengguna dan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada serta tidak memberikan maklumat peribadi melalui saluran yang tidak disahkan.

“KTMB ingin menegaskan pihaknya tidak melantik mana-mana pihak ketiga atau mewujudkan akaun media sosial khas untuk mengendalikan urusan pengambilan pekerja seperti yang didakwa oleh akaun berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Syarikat pengendali perkhidmatan rel itu memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penyalahgunaan nama dan logo KTMB serta penyebaran tawaran pekerjaan palsu berkenaan.

“KTMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penipuan, penyamaran, penyalahgunaan identiti korporat atau apa-apa perbuatan lain yang menyalahi undang-undang,” menurut KTMB.

Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta merujuk maklumat berkaitan peluang kerjaya, pengambilan pekerja dan pengumuman rasmi KTMB menerusi laman sesawang www.ktmb.com.my serta saluran media sosial rasmi syarikat.

KTMB turut menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan nama, logo dan identiti korporat yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keselamatan maklumat peribadi orang ramai.

Syarikat itu juga merakamkan penghargaan kepada pemilik akaun media sosial Syed Al Hafiz atas keprihatinan dan inisiatifnya berkongsi maklumat serta mengingatkan orang ramai mengenai cubaan penipuan berkenaan.

Semakan Bernama terhadap akaun TikTok berkenaan mendapati akaun itu masih boleh diakses, dengan hantaran terbaharu dipaparkan kira-kira 12 jam sebelum semakan dibuat.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved