amree20/10/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberi amaran kepada orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pekerjaan palsu menerusi akaun TikTok dikenali sebagai ‘kerjaya.ktmb’ yang menyalahgunakan nama dan logo syarikat itu bagi tujuan penipuan.
Syarikat perkhidmatan rel tersebut dalam kenyataan turut menegaskan tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga kononnya diberi tanggungjawab untuk mengendalikan sendiri urusan pengambilan pekerja baharu seperti yang didakwa akaun media sosial berkenaan.
Pengendali rel milik kerajaan berkenaan turut menjelaskan bahawa tiada akaun media sosial secara khusus diwujudkan untuk tujuan menguruskan proses pengambilan pekerja, sekali gus menafikan dakwaan yang disebarkan melalui laman tersebut.
"Akaun berkenaan dipercayai menyalahgunakan identiti korporat syarikat bagi menyebarkan tawaran pekerjaan serta mendapatkan maklumat peribadi pengguna," jelas KTMB lagi.
Sehubungan itu ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai tawaran pekerjaan atau maklumat meragukan, selain mengelakkan perkongsian maklumat peribadi mereka melalui saluran yang tidak disahkan syarikat berkenaan.
KTMB memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung penyalahgunaan nama dan logo syarikat serta penyebaran tawaran pekerjaan palsu itu.

Syarikat berkenaan turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penipuan, penyamaran, penyalahgunaan identiti korporat atau perbuatan lain yang menyalahi undang-undang.
"Bagi memastikan kesahihan maklumat berkaitan kerjaya, pengambilan pekerja dan pengumuman rasmi, orang ramai diminta merujuk laman sesawang rasmi KTMB di http://www.ktmb.com.my serta saluran media sosial rasmi syarikat itu," katanya.
Selain itu, KTMB turut merakamkan penghargaan kepada pemilik akaun media sosial, Syed Al Hafiz, atas keprihatinan dan inisiatif beliau berkongsi maklumat serta memberi peringatan kepada orang ramai mengenai cubaan penipuan berkenaan.
Ia menegaskan bahawa penyalahgunaan nama, logo dan identiti korporat boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keselamatan maklumat peribadi, justeru tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
KTMB merupakan pengendali pengangkutan rel negara dengan rangkaian sepanjang 1,655 kilometer yang merangkumi 84 stesen dan 68 perhentian di seluruh Semenanjung Malaysia.
Perkhidmatannya meliputi pengangkutan penumpang menerusi ETS, KTM Intercity dan KTM Komuter, selain perkhidmatan barangan melalui KTM Kargo. - DagangNews.com





