
PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah lapan perkhidmatan KTM Komuter Utara bagi laluan Butterworth–Padang Besar–Butterworth bermula 27 hingga 31 Ogos ini sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan.
KTMB berkata, penambahan menerusi pelaksanaan Jadual Waktu Khas KTM Komuter Sektor Utara itu dibuat bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh berkenaan.
“Jumlah keseluruhan perkhidmatan bagi laluan Butterworth–Padang Besar–Butterworth akan meningkat daripada 38 kepada 46 perkhidmatan sehari.
“Menerusi inisiatif ini, KTMB menjangkakan peningkatan jumlah penumpang sebanyak 30 peratus berbanding hari biasa.
“Penambahan perkhidmatan ini juga dijangka dapat meningkatkan kapasiti bagi menampung sehingga 5,000 penumpang tambahan sehari, menjadikan keseluruhan kapasiti tambahan sebanyak 25,000 penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KTMB berkata, daripada jumlah berkenaan, empat perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Padang Besar–Butterworth, menjadikan keseluruhan 23 perkhidmatan sehari berbanding 19 perkhidmatan pada jadual biasa.
“Bagi laluan Butterworth–Padang Besar pula, empat perkhidmatan tambahan turut disediakan, menjadikan keseluruhan 23 perkhidmatan sehari.
“Penambahan perkhidmatan ini merupakan antara langkah proaktif KTMB dalam meningkatkan kapasiti pengangkutan awam serta memberi lebih banyak pilihan waktu perjalanan kepada penumpang khususnya bagi pergerakan antara Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sepanjang musim cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal dan merujuk Jadual Waktu Khas KTM Komuter Sektor Utara yang akan berkuat kuasa sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan perjalanan lebih teratur.
“Maklumat tambang boleh diperoleh melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau saluran media sosial rasmi KTMB,” katanya. – UTUSAN
The post KTMB tambah lapan perkhidmatan Komuter Utara sempena cuti sekolah, Hari Kebangsaan appeared first on Utusan Malaysia.






