Kuala Lumpur antara 10 bandar popular di dunia

LocalTravel
30 Jul 2026 • 2:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kuala Lumpur antara 10 bandar popular di dunia

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur kini berada dalam kelompok 10 bandar paling popular di dunia dari segi ketibaan pelancong antarabangsa berdasarkan Indeks Destinasi Bandar Global Mastercard.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian itu membuktikan daya tarikan Malaysia semakin meningkat dalam kalangan pelancong global menerusi pelbagai usaha kerajaan.

Menurutnya, kerajaan justeru itu terus memperhebatkan usaha menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) bagi memastikan sasaran lebih 40 juta pengunjung dapat dicapai pada masa akan datang.

“Penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti perlumbaan Formula 1 (F1) dan Kuala Lumpur Marathon mampu menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

“Perkembangan positif sektor pelancongan akan menjadikan industri itu sebagai penyumbang pendapatan kedua terbesar negara selepas pelbagai usaha promosi dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Pameran seni bina, reka bentuk dalaman dan bangunan Antarabangsa Ke-25 (Archidex 2026) Opens Malaysia Largest Architecture and Building Exhibition di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Kor ming berkata, Malaysia telah mencatatkan 10.7 juta ketibaan pelancong asing pada suku pertama tahun ini, sekali gus mengatasi Thailand buat kali pertama.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan Malaysia semakin mendapat pengiktirafan sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa menerusi keunikan budaya, lokasi menarik dan kestabilan negara.

“Saya ingin menyeru rakyat Malaysia menjaga kebersihan persekitaran bagi memastikan pelancong yang hadir memperoleh imej negara bersih, selesa dan sejahtera.

“Masyarakat juga perlu memperkukuh budaya sopan santun serta budi bahasa supaya pelancong berasa dialu-alukan dan berhasrat kembali semula.

“Manakala kestabilan politik perlu terus dipertahankan kerana faktor itu mampu meningkatkan keyakinan pelancong serta menarik kemasukan pelaburan asing ke negara,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Kuala Lumpur tersenarai sebagai bandar popular dunia perlu dijadikan pemangkin untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan serta pengalaman pelancongan negara.

“Saya yakin dengan sokongan rakyat dan kerjasama pelbagai pihak, Malaysia mampu mencapai sasaran pelancongan yang ditetapkan serta kekal menjadi destinasi pilihan dunia,” katanya. – UTUSAN 

 

The post Kuala Lumpur antara 10 bandar popular di dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved