
KUALA LUMPUR: Kualiti kerja turapan yang tidak sempurna oleh kontraktor dan syarikat utiliti dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan kerosakan jalan Persekutuan berulang sehingga memerlukan kerja tampalan semula.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kenderaan berat yang melebihi had muatan, keadaan saliran, faktor cuaca dan usia jalan turut menyumbang kepada kerosakan berkenaan.
Beliau berkata sebanyak RM10.6 bilion dibelanjakan bagi kerja penyenggaraan dan pembaikan jalan Persekutuan di seluruh negara sepanjang 2021 hingga 2025, meliputi penyenggaraan rutin dan berkala turapan serta kerja berkaitan untuk memastikan jalan raya sentiasa selamat dan selesa digunakan.
Ahmad berkata struktur jalan Persekutuan disenggara dan dibaik pulih berdasarkan garis panduan yang berkuat kuasa seperti arahan teknik jalan, spesifikasi piawai jalan dan nota teknik jalan bagi tujuan menjaga kualiti penurapan dan menampung jangka hayat jalan yang lebih lama.
“Mekanisme yang digunakan bagi pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan dan pembaikan jalan ditentukan oleh faktor seperti tahap jenis kerosakan jalan, kadar isi padu kenderaan berat, hierarki jalan, kadar kemalangan dan kitaran hayat jalan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai peruntukan yang dibelanjakan sepanjang lima tahun terakhir untuk membaiki kerosakan berulang di jalan Persekutuan termasuk jalan yang sama ditampal berulang kali serta punca utama kerosakan.
Sementara itu, Ahmad berkata cadangan pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) sepanjang 122 kilometer dari Kampung Gemuruh, Terengganu ke Tunjung, Kelantan masih di peringkat penyediaan dokumen permintaan cadangan (RFP) oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Beliau berkata projek itu dicadangkan untuk dilaksanakan secara penswastaan menerusi kaedah kerjasama awam swasta dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya pembida yang berjaya.
“Kementerian Kerja Raya telah memukakan penyataan keperluan projek atau statement of needs (SoN) kepada UKAS JPM bagi tujuan penyediaan dokumen RFPghbn seterusnya untuk cadangan ini diangkat kepada pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) berkenaan status terkini cadangan projek pembinaan LPT3 melalui penswastaan secara kerjasama awam swasta.






