
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan terdapat satu kawasan di Semenanjung mengalami cuaca panas pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu di Kuantan, Pahang hari ini.
MetMalaysia berkata, di Sabah, dua kawasan turut berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu di Telupid dan Pitas.
“Tahap Berjaga-Jaga bermakna apabila suhu maksimum harian merekodkan bacaan 35 ke 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran berbeza MetMalaysia memaklumkan terdapat beberapa kawasan dikenakan amaran ribut petir hingga 9 malam nanti.
“Ribut, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kelantan iaitu di Gua Musang dan Terengganu di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.
“Amaran sama juga dikenakan bagi daerah-daerah di Pahang iaitu Kuantan, Jerantut dan Maran,” katanya.
Sementara itu, amaran sama turut dikeluarkan untuk negeri Sarawak: Limbang, Miri (Marudi dan Beluru), Serian (Serian), Bintulu (Sebauh). – KOSMO! ONLINE
The post Kuantan catat cuaca panas Tahap 1 appeared first on Kosmo Digital.



