
KUALA LUMPUR: Negara kuasa besar yang memiliki keupayaan ketenteraan perlu menggunakan kedudukan mereka secara bertanggungjawab dengan menghormati undang-undang antarabangsa, bukannya secara terpilih.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komuniti antarabangsa melihat kuasa besar sebagai penjaga keamanan dan kestabilan global yang perlu hadir bersama tanggungjawab yang besar.
Malah katanya, Malaysia sama sekali tidak berniat mencampuri dasar luar atau hubungan antarabangsa mana-mana negara.
“Malaysia melihat negara besar sebagai penjaga keamanan dan kestabilan global. Namun, pengiktirafan besar itu datang bersama tanggungjawab dan harapan yang besar.
“Kita tidak bermaksud untuk memberitahu bagaimana anda harus menjalankan dasar luar atau hubungan antarabangsa, tetapi kita mengharapkan agar perkara itu dilakukan dengan menghormati undang-undang antarabangsa dan aturan berasaskan peraturan secara konsisten, bukan secara terpilih,” katanya ketika merasmikan Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa (MILOPS) ke-37 anjuran Komando Indo-Pasifik Amerika Syarikat (USINDOPACOM) di sini hari ini.
Persidangan MILOPS ke-37 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Ogos menghimpunkan pemimpin pertahanan, pegawai tentera, pakar perundangan dan penggubal dasar dari seluruh rantau Indo-Pasifik bagi memperkukuh kepercayaan profesional, meningkatkan persefahaman serta mengukuhkan kerjasama dalam aspek keselamatan serantau.
Mohamed Khaled menegaskan bahawa tujuan sebenar kewujudan angkatan tentera bukan untuk melancarkan peperangan, sebaliknya memastikan peperangan dan konflik tidak berlaku.
Menurut beliau, sebarang pertikaian sewajarnya diselesaikan melalui dialog, pengantaraan dan diplomasi, bukannya menggunakan kekuatan ketenteraan.
“Seboleh mungkin, konflik mesti diselesaikan melalui dialog aman, pengantaraan dan diplomasi, bukannya peperangan.
“Kehadiran anggota tentera dan pasukan keselamatan tidak seharusnya dilihat sebagai demonstrasi kekuatan atau satu bentuk ugutan, sebaliknya sebagai komitmen bersama terhadap keamanan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua peserta persidangan supaya terus menjunjung prinsip yang menjadi asas kepada ASEAN iaitu keamanan, berkecuali, dialog, saling menghormati serta pematuhan kepada undang-undang antarabangsa.
Katanya, pematuhan terhadap prinsip-prinsip tersebut mampu menyumbang kepada pembentukan rantau Asia Tenggara dan Indo-Pasifik yang lebih aman, stabil dan makmur. – UTUSAN
The post Kuasa besar diingat hormati undang-undang antarabangsa appeared first on Utusan Malaysia.






